Mahkamah Arah Ujian Dara Dihentikan
Kaherah – Mahkamah Mesir hari ini mengarahkan supaya pihak tentera menghentikan amalan pemeriksaan dara yang dijalankan ke atas pesalah wanita.
Keputusan berkenaan diambil selepas seorang wanita, Samira Ibrahim, 25, yang ditangkap semasa menyertai protes anti kerajaan di Dataran Tahrir, beberapa bulan lalu, mendakwa dia diarahkan menjalani pemeriksaan berkenaan.
Samira yang juga seorang pengurus pemasaran, telah mengheret kerajaan tentera yang mengambil alih pentadbiran pasca penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak ke mahkamah selepas dia mendakwa dipaksa menjalani pemeriksaan berkenaan.
Samira juga mendakwa dia berdepan ancaman bunuh selepas membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Mac lalu, kumpulan aktivis Amnesty International melaporkan bahawa tentera Mesir bukan sahaja melakukan keganasan ke atas penunjuk perasaan malah lebih kejam lagi, mereka telah memaksa wanita yang ditahan semasa protes anti kerajaan menjalani pemeriksaan menentukan dara.
Kerajaan tentera bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Namun dua bulan selepas itu, seorang pemimpin kanan tentera yang berpangkat Jeneral mengakui dakwaan berkenaan.
“Wanita yang ditahan ini bukannya seperti anak saya atau anak awak, sebaliknya mereka ini duduk dalam satu khemah bersama penunjuk perasaan lelaki. Kita juga menemui bom petrol dan dadah dalam khemah tersebut,” katanya yang enggan mendedahkan identiti.
Sementara itu, salah seorang wanita, Salwa Hosseini ketika membuat laporan kepada Amnesty International memaklumkan dia diarahkan oleh anggota tentera untuk menanggalkan pakaian bersama-sama dengan tahanan wanita yang lain.
Menurutnya, mereka kemudiannya diperiksa oleh askar wanita manakala askar lelaki pula menonton dan merakamkan gambar wanita berbogel ini.
“Askar wanita ini kemudiannya cuba memalukan tahanan wanita ini dengan membenarkan askar lelaki menonton dan mengambil gambar bogel ini. Apa akan jadi jika gambar bogel ini disebarkan,” kata Salwa.
Dalam laporannya kepada Amnesty itu juga, Salwa mendakwa mereka dipaksa menjalani pemeriksaan dara itu di bilik berasingan dan akan didakwa sebagai pelacur sekiranya ujian itu mendapati mereka bukan lagi dara. (sumber :MY news hub)
0 comments:
Post a Comment