12:38 0

Masalah Kewangan Punca Ekin, Yazir (AF3) Tangguh Kahwin





PETALING JAYA: Bekas pelajar program Akademi Fantasia musim ke tiga (AF3) iaitu Ekin terpaksa menangguhkan hasratnya untuk berumah tangga dengan penyanyi Yazer kerana faktor kewangan yang masih belum kukuh.

Ekin, 28, berkata, pada dasarnya dia sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan namun perlu memahami kedudukan bakal suami yang masih belum stabil.

"Saya dan Yazer bukannya popular sangat dan jarang ada undangan nyanyian. Tambahan pula tanggungjawab untuk berkahwin bukannya senang kerana ia memerlukan komitmen yang besar terutamanya daripada pihak lelaki," ujarnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun percintaannya dengan Yazer yang telah melangkau hampir empat tahun itu semakin utuh kerana mereka sama-sama mengharungi susah senang bergelar seorang artis.

Ekin memberitahu, mereka saling bantu membantu dalam kerjaya masing-masing.

"Kepada Yazer saya mengadu dan berkongsi masalah dan begitu juga dia. Kami saling menjaga hubungan antara satu sama lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Ekin berhasrat kembali ke negeri kelahirannya iaitu Sabah untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya.

Ekin berkata, keputusan itu dibuat selepas memikirkan kerjaya seninya di Kuala Lumpur tidak berjalan dengan begitu baik dan perlu memikirkan sesuatu untuk masa depannya.

"Nak kata kecewa tidak juga tetapi itu adalah satu usaha yang perlu saya lakukan untuk meneruskan kerjaya nyanyian saya selepas tidak begitu dikenali di kalangan peminat di Kuala Lumpur," ujarnya.

Tambahnya, dia ingin mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya iaitu Felix yang popular dan dikenali ramai di Sabah.

0 comments:

Post a Comment