SUMBER: GUA
Selepas muncul dalam filem ‘Anak Halal’ dan ‘Cun’ arahan Osman Ali, pelakon berbakat besar, Remy Ishak kini bakal muncul dalam sebuah lagi filem arahan pengarah Ombak Rindu itu iaitu ‘Jiwa Taiko’.
GUA sendiri berpeluang menghadiri Malam Gala Tayangan Media filem tersebut di Cathay Cineleisure, malam tadi dan apabila menontonnya, GUA terkejut melihat aksi ‘berani’ pelakon kacak itu melakonkan aksi berahi dengan pelakon Diana Danielle.
Remy yang memegang watak sebagai Firman, seorang bekas banduan bertemu dengan Trisya (Diana Danielle) di sebuah pusat pemulihan dan dari situ, mereka jatuh cinta. Dalam filem tersebut, ada beberapa babak berahi di mana Firman dan Trisya berpelukan, ‘berciuman’ serta melakonkan aksi-aksi yang mengghairahkan.
Malah, terdapat juga satu babak cium yang dipotong oleh Pihak Lembaga Penapisan Filem dan ini ternyata akan mencetuskan persoalan sama ada mereka benar-benar cium atau sebaliknya.
GUA sempat bertemu dengan buah hati Tiz Zaqyah ini bagi bertanyakan mengenai isu tersebut dan Remy menganggap itu hanya tuntutan beliau sebagai seorang pelakon semata-mata.
“Saya memilih untuk berlakon dalam filem ini kerana seronok dengan jalan cerita serta perwatakannya dan bukan sebab babak pegang-pegang ini. Sebagai pelakon, kami bercerita, jadi benda ini harus dihidupkan. Saya tak mahu nanti di mana watak itu perlu buat, tapi kami tak boleh buat lantas ia jadi tak hidup.
“Mungkin orang akan pertikaikan, tapi saya tahu batas saya. Saya juga tak mahu benda-benda sebegini membataskan kerja-kerja saya. Saya juga tak nak perkara begini buat saya tak boleh berlakon serta kekok untuk menghidupkan watak saya,” ujar Remy menafikan babak tersebut keterlaluan.
“Saya tak rasa benda ini agak keterlaluan. Saya ambil perkara ini dari sudut yang positif. Sebagai pelakon, kami hanya berbicara tentang niat kami untuk bercerita. Bagi saya, tak ada istilah tentang aksi keterlaluan. Malah, masa shooting pun tak ada yang keterlaluan dan masing-masing profesional melakukan tugas.
“Bagi saya, apa yang penting ialah niat di mana niat kami di sini adalah untuk bagi nasihat dan memberitahu kepada masyarakat tentang masalah-masalah social yang berlaku sekarang. Saya tak rasa benda ini akan jadi satu isu. Saya harap penonton dapat ambil ia sebagai satu nasihat dan bukan satu perkara yang jijik.”
Dalam perkembangan lain, Remy memberitahu baru saja selesai menjalani penggambaran filem ‘Bravo 5’. Selain ‘Jiwa Taiko’ yang bakal ditayangkan 14 Jun 2012, Remy turut akan muncul dalam filem ‘Aku, Kau dan Dia’, ’29 Februari’, ‘Hantu Kapcai’ dan ‘Azazil’. (Gua.com.my)
0 comments:
Post a Comment