Lembaga ‘Misteri’ Di Kota Damansara?
KOTA DAMANSARA – Kegembiraan seorang penarik kereta yang mahu bersantai bersama rakannya untuk menonton perlawanan suku akhir Kejohanan Euro 2012 antara Jerman dan Greece tidak kesampaian apabila kereta Honda City dipandunya terbabas serta berpusing beberapa kali sebelum terbalik di bahu jalan bertentangan.
Dalam kejadian pada jam 2 pagi semalam di Persiaran Kenangan Seksyen 6 itu, mangsa dikatakan cuba mengelak lembaga misteri yang secara tiba-tiba melintas jalan tersebut.
Penarik kereta berusia 30 tahun itu bagaimanapun bernasib baik dan hanya mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta luka pada bahagian badan.
Dia diselamatkan oleh orang ramai yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Menceritakan detik cemas itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, dia cuba mengelak dari melanggar satu lembaga berwarna hitam yang melintas jalan.
“Saya terkejut dan memusing stereng ke bahagian kanan. Apa yang saya ingat, kereta ini langgar pokok di atas pembahagi jalan, berpusing beberapa kali dan terbalik,” katanya yang dalam perjalanan ke Uptown D’Kota, Jalan Teknologi dekat sini. Sementara itu, seorang saksi, Ayob Osman, 43, berkata, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas.
“Nasib baik tiada pemandu lain di arah bertentangan, jika tidak keadaan mungkin bertambah buruk,” katanya yang tinggal di kawasan itu.
Difahamkan kemalangan misteri sememangnya kerap berlaku di jalan itu dan pernah meragut nyawa seorang wanita mengandung yang dirempuh sebuah kereta ketika melintas pada 2008.
Mangsa yang cedera kemudiannya membuat laporan di Balai Kota Damansara. (Sinar Harian)
0 comments:
Post a Comment