KUALA LUMPUR – Pelakon wanita kelahiran Liverpool, England, Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, mengakui pernah memasuki sebuah disko di ibu kota dengan berhijab selepas dia berhijrah memakai tudung pada 1 Jun yang lalu.
Menurut laporan dari mStar Online, Sharifah berkata, semua pengunjung disko memandang pelik dirinya yang memasuki pusat hiburan berkenaan.
Kerana pemakaiannya yang tidak bersesuaian ketika berkunjung ke disko tersebut, Sharifah telah diarah keluar oleh pekerja disko itu.
Akibat dari kejadian itu, dia sendiri tertanya-tanya kesalahan dan sebab kenapa dirinya diarahkan keluar dari tempat itu.
“Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya.
“Masa itu saya tertanya-tanya kenapa kehadiran saya dipersoalkan kerana saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?” katanya.
Namun, tindakan Sharifah itu adalah kerana dia masih lagi tidak memahami sepenuhnya erti hijrah dalam Islam.
Justeru itu, dia telah banyak membaca dan melakukan sendiri kajian mengenai ilmu-ilmu Islam serta barulah mengetahui mengapa Islam melarang umatnya mengunjungi tempat-tempat seperti itu.
“Sebelum bertudung, bukan bermakna saya ini ‘kosong’ tentang pengetahuan Islam. Cuma kali ini saya lebih mendalaminya dan mahu diri ini sempurna dengan tidak meninggalkan amalan wajib.
“Tindakan ini ditambahkan lagi ketika suami menunaikan ibadah Haji pada tahun lalu dan tibalah masanya untuk saya melakukan tanggungjawab sebagai isteri bagi menjaga nama baiknya.
“Alhamdulillah, kini saya sudah berhijrah. Mungkin inilah masanya untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment