Usia yang meningkat bukanlah suatu penghalang bagi Aznil Haji Nawawi dari terus bergiat aktif sebagai seorang pengacara yang sudah 22 tahun terlibat dengan dunia hiburan. Namun, ianya sedikit sebanyak telah mendorong personaliti tempatan terkenal ini untuk lebih mendalami ilmu agama sebagai bekalan di akhirat kelak.
Az
nil yang juga merupakan seorang Naib Presiden dan Ketua Ambassador Bahagian Pengurusan Bakat Personaliti Televisyen Astro, menyuarakan keinginannya untuk mengacara rancangan yang mendorong ke arah keagamaan."Saya inginkan agama menjadi sesuatu yang konvensional dan relevan, dan tidak mahu rancangan agama hanya dipelopori oleh mereka yang berkopiah, berjanggut dan berserban," ujarnya di sebuah sidang media yang bertempat di Royale Bintang Damansara semalam.
"Cara penyampaiannya juga haruslah disenangi ramai dan tidak memperkecilkan penonton. Yang penting ialah saya juga mempelajari banyak ilmu agama. Itu tuntutan saya bukan untuk televisyen sahaja, tetapi juga sebagai bekalan di akhirat kelak kerana ianya sudah menjadi tanggungjawab saya."
Ditanyakan sejak bila beliau mula berubah hati, Aznil menjawab ianya bermula semenjak beliau pergi ke Tanah Suci Mekah dahulu.
"Sekarang ini sudah tiba masa untuk saya berhijrah. Semasa saya pergi ke Tanah Suci Mekah untuk melakukan ibadat Umrah dan Haji dahulu, saya sudah sedikit demi sedikit 'berhijrah' dari segi dalaman."
"Dari segi luaran mungkin orang tidak nampak, tetapi yang itu bukanlah yang patut dinilai. Saya tidak mahu dinilai dari segi pemakaian serban ataupun jubah. Kini, saya sedang berada dalam proses untuk mendalami ilmu agama dengan mempelajarinya dari guru agama," jelasnya.
Tambah beliau lagi, niat untuk berubah telah wujud selepas mendengar khutbah seorang ustaz di Mekah yang berjaya membuatnya 'terpaku' seketika.
Aznil yang kini lebih selesa dengan panggilan Pak Nil berkata bahawa beliau berharap agar dapat menggunakan popularitinya untuk menarik ramai penonton untuk menonton rancangan agama suatu hari nanti.
"Jika rancangan-rancangan saya yang sebelum ini boleh mendapatkan jumlah penonton yang ramai, alangkah baiknya jika saya gunakan 'kuasa' yang saya ada itu untuk memaku mereka dalam menonton rancangan agama suatu hari nanti, Insya Allah."
"Walaupun saya bersedia, tetapi saya tidak bolehlah terus meninggalkan rancangan-rancangan yang bergenre hiburan dengan begitu sahaja, kerana itu sudah dikira pentingkan diri. Harapan pelanggan harus dijaga juga. Jadi, jika pelapis-pelapis baru ini sudah bersedia mengambil alih, barulah saya boleh bertumpu kepada rancangan agama," katanya.
Yahoo!
0 comments:
Post a Comment