PETALING JAYA: Pelakon Dira Abu Zahar berkata sudah tiba masanya untuk dia aktif semula dalam bidang seni selepas kontroversi dirinya reda berhubung kes pergaduhan di disko dan percubaan membunuh diri pada April lalu.
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 28, berkata, tindakan menyepikan diri adalah jalan terbaik bagi menjernihkan semula kekecohan membabitkan nama dan reputasinya sebelum ini yang tercemar.
“Bagi saya, tindakan kurang aktif dalam bidang seni banyak membantu dalam menjernihkan semula kekeruhan yang timbul ekoran kontroversi pergaduhan itu.
“Sekurang-kurangnya, sepanjang beberapa bulan ini, kekecohan itu beransur reda dan sekarang saya mahu menumpukan semula kepada kerjaya seni seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun, Dira berkata, tindakan berdiam diri itu bukan kerana dia mahu lari daripada kontroversi terbabit tetapi secara kebetulan dia sibuk dengan urusan keluarga dan pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing (Limkokwing) dalam bidang Sarjana Filem Digital dan Televisyen.
“Secara kebetulan, selepas kontroversi itu tercetus saya sibuk dengan urusan keluarga kerana kami baru berpindah ke rumah baru beberapa bulan lalu.
“Saya pula baru memulakan pengajian di Limkokwing, jadi sebab itu saya tidak dapat terima tawaran kerja buat seketika,” jelasnya.
Bercerita mengenai kemunculan semula dalam lakonan, Dira berkata, peluang berlakon di bawah arahan Ahmad Idham buat julung kali dalam filem Lari adalah permulaan yang baik untuk kembali aktif.
“Tawaran dalam filem ini adalah yang pertama kali saya berpeluang memegang watak utama selepas lima tahun jadi pelakon.
“Pertama kali bekerjasama dengan Ahmad Idham, saya berasa seronok dan langsung tidak tertekan walaupun Lari adalah filem aksi yang menuntut ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.
“Ini kerana pendekatan yang digunakannya begitu terbuka dan kami sering berbincang sebelum memulakan penggambaran,” katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri terbaru Ini Kisah Perempuan di TV1, tidak lama lagi.
0 comments:
Post a Comment