Tidak Kejar Glamor Punca Fizz Fairuz Rasa Tiada Peminat
PETALING JAYA: Faktor pelakon Fizz Fairuz merasakan dia tidak mempunyai peminat selepas terpilih sebagai Pelakon Drama Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) pada 8 April lalu kerana sikapnya yang tidak mengejar glamor.
Fizz berkata perasaan itu wujud kerana penglibatannya dalam dunia seni adalah kerana mahu mencari rezeki dengan ikhlas dan bukannya untuk menjadi popular tanpa sebarang usaha.
"Saya tidak pernah mengejar populariti kerana merasakan tiada orang yang meminati diri saya dan kehadiran saya dalam dunia lakonan adalah semata-mata kerana ingin mencari rezeki halal dan menyumbangkan bakat yang ada.
"Terus terang saya katakan tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa saya mempunyai peminat," ujarnya kepada mStar Online.
Fizz berkata demikian ketika diminta mengulas reaksinya yang terkejut apabila memenangi trofi Pelakon Drama Lelaki Popular pada malam kemuncak ABPBH2011 pada minggu lalu.
Kemenangan itu kata Fizz membuatkannya terharu kerana tidak menyangka selepas tujuh tahun barulah dia mempunyai peminat yang sanggup mengundinya dalam anugerah berkenaan.
"Saya betul-betul terkejut kerana pada mulanya saya merasakan zaman saya sebagai pelakon sudah berakhir kerana ketika nama saya diumumkan, tak ada orang pun yang memberi tepukan. Jadi ketika diumumkan sebagai pemenang sudah tentu saya terkejut," ujarnya.
Sementara itu, Fizz memberitahu dia tetap bersyukur dengan kemenangan itu dan menganggap ia sebagai hasil daripada usahanya selama ini yang tidak jemu-jemu memperbaiki diri untuk menjadi pelakon yang baik.
"Bukan mudah untuk mencapai ke tahap ini kerana pelbagai cabaran telah saya lalui dan menerima anugerah itu adalah satu pengalaman terbaik dalam hidup saya. Terima kasih tidak terhingga kepada peminat," katanya.
Bercerita mengenai perkembangan terbaru, Fizz sedang sibuk dengan beberapa projek drama selain baru sahaja selesai penggambaran Waris untuk siaran TV3.
0 comments:
Post a Comment