09:56 0

Pengarah Asal Filem 'Dampak' Bikin Kontroversi

Filem Dampak yang dilakonkan oleh Aaron Aziz, Farid Kamil, Scha Al Yahya dan Intan Ladyana dikatakan bakal meletup di pawagam, Namun belumpun filem ini ditayangkan, satu kontroversi yang besar telah melanda pasukan produksi filem tersebut.

Pengarah filem dan penulis skrip, Andy Mak telah membuat tuntutan dari pihak penerbit ekoran episod pengguguran beliau dari produksi filem tersebut.

Jom baca laporan dari MSTAR:


Andy Mak
PETALING JAYA: Pengarah filem Dampak, Andy Mak yang digugurkan daripada produksi filem itu tanpa sebab memberikan dua pilihan kepada penerbit filem tersebut bagi menyelesaikan konflik yang tercetus antara mereka.

[sila sambung baca]


Andy atau nama sebenarnya Andy Mak Nung Wei, 38, berkata, dia bertindak membuat laporan polis pada 29 Ogos lalu selepas usaha untuk mendapatkan baki bayaran mengarah dan kadar hak milik skripnya yang dianggarkan RM128,000 daripada penerbit Displaymax Sdn Bhd dan Ops Picture Sdn Bhd menemui jalan buntu.
"Hampir sebulan saya menunggu dan mencari mereka (penerbit) bagi mendapatkan penjelasan (digugurkan) dan baki bayaran sebagai pengarah serta skrip saya kerana mereka baru membayar 40 peratus atau RM32,000 daripada jumlah keseluruhan bayaran untuk saya sebanyak RM80,000.
"Usaha menghubungi mereka menemui kegagalan dan sia-sia sehingga memaksa saya membuat laporan polis dan mendedahkan penipuan ini kepada media.
"Saya beri mereka dua pilihan sama ada untuk selesaikan kes ini secara baik menerusi perbincangan atau saya kemukakan tuntutan undang-undang untuk menghentikan filem itu sepenuhnya daripada proses pasca produksi atau penayangan kelak," katanya ketika ditemui mStar Online di Menara Star, di sini, Selasa.
Filem aksi pertarungan yang dibintangi Aaron Aziz, Farid Kamil, Scha Al Yahya, Intan Ladyana dan Wan Hanafi Su itu menjalani penggambaran bermula 30 Jun hingga 27 Julai lalu.
Difahamkan, sejak Andy digugurkan sebagai pengarah pada 5 Julai lalu, tempatnya digantikan penolong pengarah 1 iaitu Lai Yuk Long.
Andy yang pertama kali mengarahkan filem cereka berkata, selain isu bayaran pengarah dan skrip, dia berasa terkilan dan kecewa dengan penipuan yang dilakukan pihak penerbit yang menganiayai dan 'mencuri' skripnya tanpa keizinan.
Andy Mak menunjukkan laporan polis selepas dikatakan ditipu syarikat produksi filem membaitkan wang RM128,000.
"Saya terkilan dan kecewa dengan penipuan mereka. Bukan sahaja soal bayaran tetapi saya disingkir dan dinafikan hak sebagai pengarah dan pemilik skrip filem itu tanpa penjelasan.
"Bayangkan, saya hanya sempat bekerja di lokasi selama empat hari. Pada hari kelima saya menerima mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ugutan yang melarang saya ke lokasi atau 'sesuatu' akan berlaku kepada saya," katanya.
Dia turut menuntut penjelasan secara bertulis daripada pihak penerbit bagi memulihkan reputasi dan kesan yang diterimanya kerana digugurkan tanpa sebab.
"Saya mahu mereka mengeluarkan kenyataan bagi membersihkan nama dan reputasi yang tercalar kerana berita penyingkiran saya daripada produksi menimbulkan salah faham kepada khalayak yang menyangka saya mempunyai masalah disiplin.
"Malah, saya juga sudah kehilangan pendapatan sejak tujuh bulan terikat dengan projek ini tetapi baki bayaran saya masih tidak diterima sehingga kini," katanya.
Sementara itu, wakil kepada syarikat penerbit Ops Pictures Sdn Bhd, Retna Vijayan berkata, pihaknya sedang berusaha bagi menyelesaikan masalah yang timbul untuk kebaikan semua pihak yang terlibat dalam produksi filem tersebut.
"Kami sedang mengumpulkan maklumat-maklumat berkaitan pada waktu ini dan akan berkongsi perkembangan terbaru mengenai kes ini pada minggu depan," katanya dalam satu kenyataan balas menerusi kiriman e-mel kepada mStar Online.

0 comments:

Post a Comment