Pelakon Nora Danish mengakui sedang berkawan rapat dengan anak kepada seorang menteri iaitu Nadeem atau Muhammad Nadem Nazri.
Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 31, berkata, pemuda
itu juga mempunyai kriteria lelaki pilihan untuk menjadi suaminya.
"Saya berkawan dengan ramai orang, buat masa sekarang Nadeem adalah
kawan lelaki paling rapat dengan saya, lagi pula rumah kami berdekatan
dan senang untuk meminta bantuan daripadanya.
"Dia seorang yang baik, sentiasa bersikap positif dan suka
bersedekah. Dia ada kriteria lelaki pilihan yang boleh dijadikan suami,"
katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Syawal TV3 di Hotel Istana,
di sini pada Rabu.
Nora berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungannya
dengan anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri
Mohamad Nazri Abdul Aziz yang dikatakan sedang intim.
Khabar angin percintaan mereka tercetus apabila pelakon itu memuat naik gambar mereka di laman sosial Instagram miliknya.
Bagaimanapun Nora berkata, hubungan tersebut hanyalah sekadar teman
rapat dan hatinya masih belum terbuka untuk mendirikan rumah tangga
semula.
"Kami sekarang masih kawan, kalau ada jodoh dengan dia saya tidak
boleh menolak, tapi setakat ini hati saya belum terbuka untuk mana-mana
lelaki lagi.
"Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati dan
untuk menjadi seorang isteri juga saya perlu betul-betul bersedia
terutama dari segi pengorbanan," katanya.
Sementara itu, ibu kepada pelakon ini, Salimah Talib, 56, mengakui
tidak pernah menghalang anaknya untuk berkawan dengan mana-mana lelaki.
"Saya tidak menghalang siapa pun lelaki pilihannya namun banyak
menasihatkan dia agar berhati-hati apabila berkawan dengan lelaki.
"Saya takut peristiwa lama berulang kembali, kalau boleh jika
berkahwin kali kedua dengan lelaki yang benar-benar dapat
membimbingnya," katanya. -mstar-
0 comments:
Post a Comment