KUALA LUMPUR: Warga asing antara yang memanfaatkan Pusat Perlindungan Bayi Tidak Diingini (Baby Hatch) oleh Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan Care) apabila 10 bayi tidak diingini di kalangan golongan itu dihantar ke pusat berkenaan.
Setiausaha Kerjanya, Azra Banu berkata warga asing yang menghantar bayi mereka ke pusat itu terdiri pelajar dan pekerja beberapa negara termasuk Filipina, Indonesia dan Nigeria.
“Sejak ditubuhkan pada 29 Mei 2010 sehingga kini, Baby Hatch sudah menerima hampir 50 bayi tidak diingini di seluruh negara dan kami juga menerima permintaan ramai lagi wanita mengandung dan berkeinginan menghantar bayi mereka ke sini.
“Jumlah bayi berketurunan Melayu antara tertinggi iaitu 33 orang diikuti India dua orang dan Cina seorang manakala ibu bayi dihantar di sini berumur antara 18 tahun hingga 32 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, ramai wanita yang mengalami masalah mula menyedari kewujudan Orphan Care dan ia perkembangan positif dan lebih baik daripada mereka tiada tempat hendak dituju dan akhirnya membuang bayi yang tidak berdosa.
Azra berkata, Baby Hatch dijangka akan diwujudkan di Johor Bahru dan Kota Bharu, Kelantan dalam tempoh enam bulan diikuti di Pulau Pinang pada 2013.
“Kewujudan pusat ini turut mendapat reaksi positif masyarakat apabila turut menerima permintaan mewujudkan Baby Hatch di beberapa negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak, namun sukar kerana sumber terhad.
“Bagaimanapun, kami tetap berharap kes pembuangan bayi berkurangan sekali gus tidak memerlukan lebih banyak Baby Hatch pada masa akan datang,” katanya.
Sumber : MY METRO
0 comments:
Post a Comment