00:12 0

Ajal lepas rai 2012

MANJUNG: Mayat enam remaja belasan tahun bertaburan di sepanjang 30 meter jalan raya apabila kenderaan Honda Stream yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian di Batu 6, Jalan Sitiawan - Lekir, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, semua mangsa baru pulang meraikan sambutan Tahun Baru 2012 di bandar Sitiawan.

Difahamkan ketika kejadian, seramai 10 orang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan sebelum bertembung sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG yang dalam perjalanan dari arah Teluk Intan.
Rempuhan kuat itu menyebabkan enam mangsa yang duduk di belakang MPV berkenaan dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, Mohamad Hadi Sulaiman, 17, dan Badrul Isa Sulaiman, 19, mati di lokasi kejadian.

Pemandu kenderaan MPV itu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang cedera parah di kepala bagaimanapun meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini, selepas menerima rawatan kecemasan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi kereta model Honda Civic dipandu seorang lelaki.
Treler berkenaan turut melanggar kedai keropok lekor dan buah-buahan.

Menurutnya, semua penumpang MPV terbabit yang baru menyambut tahun baru dengan keluar minum di bandar Sitiawan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 15, Lekir di sini. 

Sumber : My Metro

0 comments:

Post a Comment