04:33 0

Nasha Aziz Tarik Balik Rayuan



PUTRAJAYA, 8 Feb -- Pelakon Nasha Aziz hari ini menarik balik rayuan yang dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan di sini berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapa kandungnya Abdul Aziz Mohd Ali.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Zainun Ali kemudian mengetepikan rayuan itu.

Dua hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Hakim Datuk Ramly Ali dan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim.

Terdahulu, peguam Siti Maspuah Maulan yang mewakili pelakon dan model itu memaklumkan kepada panel hakim berkenaan bahawa anak guamnya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Okt 2009 yang meluluskan permohonan Abdul Aziz agar mahkamah membuat penghakiman dalam saman malu terhadap Nasha berikutan ketidakhadiran peguam yang mewakili pelakon itu sebelum ini pada pendengaran saman itu.

Bagaimanapun, tiada alasan diberi berhubung penarikan balik rayuan itu.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Nasha, 40, membayar faedah lapan peratus setahun kepada bapanya, mulai tarikh saman itu difailkan iaitu pada 31 Mac 2005, hinggalah tarikh saman itu diselesaikan.

Abdul Aziz, 63, seorang guru silat, menyaman Nasha, yang nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, berhubung sebuah tulisan dalam akhbar Mingguan Malaysia yang mendakwa bahawa dia bukan bapa kandung pelakon itu.

Dalam penyata tuntutannya, Abdul Aziz berkata dia adalah bapa kandung Nasha dan perkataan berunsur fitnah yang terkandung dalam tulisan bertajuk "Jangan tanya hal peribadi" itu, yang tersiar pada 24 Nov 2004, menyebabkannya menderita serta menanggung malu dan merosakkan nama baiknya.

Abdul Aziz menuntut ganti rugi, faedah, kos dan ganti rugi lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, dengan mendakwa tulisan itu membawa maksud atau mengandaikan yang dia telah meninggal dunia.

Dalam kenyataan bela dirinya, Nasha berkata perkataan "bapa" yang terdapat dalam tulisan itu merujuk kepada bapa saudaranya bernama Abdul Aziz Hathim, yang memeliharanya.

Pelakon itu tidak menafikan Abdul Aziz adalah bapa kandungnya, tetapi berkata dia menganggap bapa saudaranya itu sebagai bapanya.

Bercakap kepada pemberita, peguam M.Visvanathan yang mewakili Abdul Aziz, berkata berikutan penarikan balik rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan agar anak guamnya dibayar ganti rugi, adalah terpakai.

0 comments:

Post a Comment