“APABILA saya berkawan dengan Shila, balik rumah saya boleh tidur lena kerana walaupun saya tak dapat menghubunginya tetapi saya tahu dia selalu bersama keluarganya dan ke mana pergi, ibunya pasti ada bersama. Saya rasa selamat berkawan dengannya,” jelas Sharnaaz Basir Ahmad, 27, yang sedang bercinta dengan Shila Amzah, 22, anak sulung kesayangan ND Lala.
Tidak seperti pasangan lain, mereka juga tidak pernah keluar ‘dating’ berdua kerana setiap kali berjumpa, Shila ditemani ibu ataupun adiknya. Sebelum ini Sharnaaz agak kurang mengerti apabila mendengar cerita mereka yang bercinta keluar ditemani ahli keluarga tetapi apabila dia sendiri melaluinya, dia berasa selamat dan selesa. “Walaupun kami keluar bertiga atau berempat, saya tidak pernah rasa terkongkong dan ia tidak menjadi masalah pada saya. Kali pertama saya berjumpa Shila pun dia bersama ibunya. Apabila kita sukakan anak dara orang, kita mesti terima keluarganya. Adik Shila pun dah OK dengan saya dan boleh jadi geng.
“Apabila berkawan dengan anak dara orang, saya mesti menghormati pendirian orang tuanya dan saya kena menjaga Shila dengan baik. Saya juga tidak berpura-pura dengan selalu menjadi diri saya yang sebenar membuatkan ibu Shila pun sudah faham dengan perangai saya yang agak panas baran ini. “Tetapi saya ‘naik angin’ bertempat dan tengoklah keadaan, bukan sesuka hati marahkan anak orang. Hubungan mana yang aman damai selalu dan kalau kami berselisih faham, ibu Shila selalu menasihatkan kami supaya selesaikan cara elok. Walaupun ibunya ada bersama tetapi dia tidak pernah mencampuri urusan kami berdua. Kehadiran ibu Shila juga boleh mengelakkan fitnah dan saya tahu keluarga Shila berniat baik mahu anaknya selamat.
“Saya bersyukur ditemukan dengan Shila kerana dia dijaga dengan baik oleh keluarganya dan dia seorang yang penyabar serta banyak mengajar saya menjadi seorang yang ‘cool’. Perangai kami berdua agak berbeza kerana Shila anak sulung daripada empat beradik dan saya pula anak bongsu empat beradik.
“Tahu sajalah anak bongsu ini macam mana perangainya. Saya pula berasal dari Pulau Pinang dan apabila saya bercakap loghat Utara, kedengarannya agak kasar sedangkan ia tak ada apa-apapun,” katanya.
Menurut Sharnaaz, hubungan mereka sudah pun melepas peringkat kenal mengenali dan kini melalui fasa untuk memahami antara satu sama lain.
“Saya perhatikan selepas melalui peringkat pertama hubungan kami, komunikasi juga kian berubah. Ketika kami mula kenal dulu banyak cerita yang kami kongsi bersama dan ada saja benda yang kami akan bualkan kerana ketika itu kami belum faham sikap masing-masing. Sekarang apabila dah kenal hati budi, kalau Shila tidak beritahu pun, saya boleh tahu apa yang Shila suka atau tidak.
“Shila pun sudah mengerti bahasa tubuh saya. Jadi kami tidak perlu banyak bercakap. Agaknya begitulah perubahan yang terjadi dalam setiap perhubungan. Nanti bila dah berkahwin lagi kurang bercakap dan kalau dapat anak, sibuk pula dengan anak. Apapun saya perlu melakukan sesuatu supaya hubungan kami tidak ‘bisu’ dan kaku kerana untuk mengekalkan hubungan komunikasi sangat penting,” katanya.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah menceburi bidang seni sejak dia kanak-kanak lagi sedangkan Sharnaaz baru tiga tahun bergelar anak seni. Lantaran itu, pelakon kacak itu tidak mahu ada yang menganggap dia menumpang populariti Shila.
“Sejak dulu lagi saya mahu berlakon tetapi bapa saya (Basir Ahmad) tidak benarkan kerana katanya dunia seni bukanlah terlalu indah. Bapa saya dulu bermain muzik dengan RTM dan menjadi gitaris dengan kumpulan muzik Teruna Ria.
Oleh itu dia faham sangat pancaroba dunia seni. Tetapi sukar sekali mengongkong minat seni yang mengalir dalam diri ini sehingga bapa terpaksa beri syarat saya mesti habis belajar dulu.
“Bapa juga berpesan, kalau saya serius mahu berlakon, buat betul-betul sehingga orang kenal serta ingat siapa saya. Selepas mendapat ijazah dalam bidang Logistik dari Kolej Olympia, Kuala Lumpur, terus saya mencuba nasib sebagai pelakon dan Alhamdulillah selama tiga tahun berjuang membina tapak dalam industri, rezeki saya murah dan selalu dapat bekerja dengan pengarah terkenal serta pelakon yang hebat.
“Saya bekerja keras untuk berjaya tanpa menumpang nama sesiapa. Saya bersyukur kerana Shila pun berjaya dan kami saling menyokong. Kehadiran saya dalam industri ini bukanlah untuk mengejar populariti. Saya mahu orang bercerita pasal saya kerana mutu lakonan saya dan saya tak kisah kalau Shila menjadi tumpuan lensa kamera pada mana-mana majlis hiburan.
“Berbanding saya Shila lebih memerlukan publisiti dalam akhbar kerana dia jarang muncul di televisyen kerana dia banyak buat ‘show’ yang jarang membabitkan program televisyen tetapi orang boleh lihat wajah saya dalam drama lakonan saya di televisyen. Tiada istilah siapa menumpang siapa kerana kami bersama-sama bekerja keras untuk berjaya,” katanya.
Sementara itu Shila yang hadir sama pada pertemuan itu, berkata, dia hanya mengikut ketentuan waktu dan berharap agar ada jodoh mereka.
Mereka berdua ditemui pada majlis sidang media telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang di Midvalley, Kuala Lumpur kelmarin. Dalam drama itu mereka dipertemukan sebagai pasangan kekasih dan pastinya mereka dapat membawakan watak masing-masing dengan sepenuh hati.
Drama itu diilhamkan oleh Michael daripada lagu dan lirik ciptaan Shila sendiri berjudul Patah Seribu. Lagu itu membawa seribu erti kepada Shila dan Sharnaaz kerana kali pertama mereka bekerjasama apabila Michael mengundang Sharnaaz menjadi model dalam klip video lagu itu.
Apabila pihak Astro melihatkan keserasian mereka berdua dalam klip itu, langsung mereka mencadangkan Michael menggandingkan Shila dan Sharnaaz.
Telefilem Patah Seribu adalah lakonan pertama Shila yang mana dia sendiri tidak sangka akan terjun ke dunia lakonan secepat ini. Dek kerana tertarik dengan tawaran Michael yang mengambil kisah dalam lagunya sebagai jalan cerita telefilem itu, Shila cuba dapatkan ‘lampu hijau’ daripada bapanya dan puji Michael, sebagai pelakon baru, Shila dapat menghayati dengan baik.
“Air mata saya dalam telefilem ini adalah air mata betul bukan pakai ‘bantuan’ lain. Agak mudah untuk saya menghayati watak kerana Michael memberikan tunjuk ajar dan kehadiran Sharnaaz memberi ‘feel’ kepada saya,” katanya.
Telefilem itu akan disiarkan di Astro Ria, pada 23 Februari ini, jam 9 malam.
Trivia Sharnaaz
Nike dan saiz 9
Orang berlagak
Sabtu lepas, filem Kuch Kuch Hota Hai
Dulu saya teringin nak dating dengan Kajol
Sabtu lepas ketika menonton Kuch Kuch Hota Hai
Trivia Shila
Coach
Aldo, saiz 6
Shah Rukh Khan
Bruno Mars
Lebih kurang 50
0 comments:
Post a Comment