14:46 0

Anak Tun Mahathir Ceburi Bidang Teater


KUALA LUMPUR – Mazhar Mahathir, 28, anak angkat kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekarang ini melebarkan kerjaya dirinya dengan menceburi bidang pementasan teater.

Mazhar berkata dalam laporan berita mStar Online, ibu dan bapanya tidak pernah menghalang pilihannya untuk bergiat aktif dalam bidang teater meskipun ditentang oleh bapanya pada peringkat awal untuk dia memulakan karier sendiri.

Tetapi, berkat usaha dan pujukan, Mazhar berjaya meyakinkan Tun Mahathir untuk berusaha bersungguh-sungguh mengejar cita-citanya sendiri.

“Beliau juga seperti bapa-bapa lain di dunia yang sentiasa mahukan terbaik untuk anaknya dan saya tidak terkecuali. Pada awalnya beliau memang kurang senang dengan pilihan saya tetapi apabila melihat kesungguhan saya, dirinya sudah boleh menerima.

“Malah beliau banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya lebih berjaya dan bersemangat mengejar cita-cita,” kata Mazhar.

Selain itu, dorongan dan sokongan yang diberikan oleh ibunya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali sentiasa memberikan dia semangat untuk lebih bergiat aktif dalam bidang seni itu.

Mazhar berkata lagi, ibunya sentiasa akan turun padang dan menonton lakonan teaternya sekiranya mempunyai kelapangan masa untuk berbuat demikian.

“Kebetulan siri Upin & Ipin adalah kegemarannya dan dia begitu teruja untuk melihat aksi saya dalam teater muzikal ini. Kehadirannya pada majlis pelancaran ini juga adalah begitu bermakna buat saya,” ujarnya.

Bercerita mengenai perjalanan karier seninya, Mazhar sekarang ini sedang aktif menyertai pementasan teater siri Upin & Ipin yang mampu memberikan peluang kepada dirinya untuk mengasah bakat serta membuka mata ramai pihak dengan bakat lakonan yang dia tonjolkan.

Dibesarkan oleh tokoh terkemuka negara dan dalam pengaruh keluarga yang besar, Mazhar tidak pernah lari dari kenyataan dirinya sering dikaitkan dengan nama ibu dan bapanya.

Bagi anak teruna Tun Mahathir ini, dia tidak kisah jika masyarakat sering mengaitkan nama bapanya dalam dunia seni yang bakal ditempuhi itu nanti.

Bagaimanapun, dia lebih selesa untuk hidup berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri walaupun sudah terbiasa dengan keadaan dan digelar anak orang terhormat.

“Saya tidak kisah orang sering nak kait-kaitkan saya dengan siapa ibu bapa saya tetapi sebolehnya mahu masyarakat menilai saya melalui bakat dan bukannya kerana siapa saya,” katanya.




0 comments:

Post a Comment