16:26 0

Kamal Adli hargai pengorbanan kekasihnya, Intan Ladyana



PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli, 25, sangat kagum dan menghargai pengorbanan kekasihnya iaitu Intan Ladyana, 29, yang sanggup menunggu untuk dilamar sebagai isteri.

Kamal berkata, dia faham dengan situasi Intan yang sedang menanti untuk dipinang apatah lagi ketika keluarga dan saudara-mara mula berkata-kata mengenai perhubungan mereka, namun dia belum bersedia daripada segi hal kewangan.

"Saya hormat pada Intan dan hargai pengorbanannya kerana sabar menunggu saya yang masih lagi membina karier untuk lebih kukuh.

"Malah dia juga tidak kisah dengan persoalan orang di sekeliling yang bertanyakan tentang bilakah tarikh perkahwinan kami," katanya.

"Kita nak jaga anak orang, jadi kalau boleh biarlah kita ada aset sedikit seperti rumah terutamanya, demi keselesaan bakal isteri.

"Saya juga mahu meyakinkan keluarga Intan yang saya boleh menjaganya," ujar Kamal.

Walaupun pelbagai gosip cinta yang melanda dirinya dengan pelakon-pelakon wanita lain, Kamal bersyukur kerana Intan bukanlah seorang yang mudah melenting kerana dia memahami tidak semua gosip itu benar.

"Memang kita tidak boleh nak elak daripada cakap-cakap orang, tetapi Alhamdulillah, kami saling mengenali antara satu sama lain dan faham dengan situasi yang berlaku.

"Harap-harap, jodoh kami panjang, doakan untuk kebahagiaan kami ya," tuturnya. 


0 comments:

Post a Comment