PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla (Tasha) tidak mahu lagi dikaitkan dengan isu pergaduhan di antara Neelofa dan Anzalna kerana ia mengganggu ketenteraman keluarga sehingga bapanya melarang dia memberikan kenyataan lanjut kepada mana-mana pihak.
Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 25, berkata dia berasa terkilan kerana namanya masih dikaitkan dalam konflik berkenaan walaupun dia tidak memberikan sebarang komen.
“Saya minta agar nama saya tidak lagi dikaitkan dengan kes Neelofa dan Anzalna kerana daripada awal lagi saya tidak mempunyai sebarang masalah atau isu dengan mereka. Apa yang saya kesalkan, nama saya masih dikaitkan dalam konflik itu walaupun saya mengambil langkah berdiam diri.
“Bapa saya sudah mula menyuarakan perasaan kurang senang kerana nama saya masih dikaitkan dalam hal ini. Saya tidak akan beri apa-apa komen lagi mengenai kes ini kerana ia tidak membabitkan saya,” katanya ketika ditemui mStar Online di Menara Star di sini.
Aktres yang mencipta nama menerusi siri Gemilang ini menambah, pada awalnya dia tidak melatah atau marah walaupun dikaitkan dalam konflik itu kerana memahami perkara itu adalah lumrah dalam dunia hiburan.
“Saya sedia maklum perkara begini adalah permainan industri hiburan dan tiada apa yang mengganggu saya secara peribadi. Malah, saya tidak keberatan memberikan kerjasama kepada media yang bertanyakan kes itu cuma saya tidak akan beri apa-apa komen lagi.
“Kes itu makin merebak dan nama saya masih dikaitkan sehingga keluarga berasa tidak selesa. Memandangkan ia mula mengganggu keluarga, maka saya perlu bertegas dan tidak akan beri kenyataan selepas ini demi menghormati keluarga,” katanya.
Beralih kepada kerjaya, Tasha berkata dia mahu menamatkan semua komitmen lakonan dengan secepat yang mungkin sebelum kehadiran bulan Ramadan pada Julai depan kerana mahu menumpukan perhatian kepada ibadah dan keluarga pada tahun ini.
“Sejak awal tahun lagi saya sudah bekerja di pelbagai set penggambaran drama. Saya akui berasa sangat penat tetapi ada beberapa komitmen lakonan yang perlu saya sudahkan.
“Pada tahun ini, saya menumpukan kepada tawaran telefilem berbanding drama bersiri. Kalau diizinkan, saya mahu berehat saja pada bulan Ramadhan nanti agar dapat beribadah dan menghabiskan masa dengan keluarga,” katanya.
Dia baru saja menamatkan penggambaran telefilem Rania Si Puteri Duyung untuk Astro Ria dan bakal masuk ke tiga buah telefilem lagi iaitu Saleha (TV3), PA Cinta (TV9) danJane Jamilah (TV3).
Terbaru, Tasha dilantik sebagai duta kecil Program Lawatan Jelajah Eropah Bersama Selebriti anjuran Air France KLM di samping aktor Fizz Fairuz.
Mereka bakal terbang ke Belanda dan Belgium bersama 30 peminat pada 10 hingga 18 September depan bagi menyaksikan Ekspo Bunga Tulip di Belanda yang hanya terjadi setiap 10 tahun sekali.
0 comments:
Post a Comment