KEMEROSOTAN ranking dunia Datuk Lee Chong Wei ke tangga kedua langsung tidak memberi kesan kepada jaguh badminton negara itu dalam persediaan rapi bagi memastikan sasaran menggenggam emas pertama negara di Olimpik London bermula Julai depan, tercapai.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock menyifatkan ranking bukan lagi keutamaan kerana sudah menjangka ia akan berlaku berikutan anak didiknya gagal menyertai kejohanan antarabangsa sejak mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika menyertai kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China pada 22 Mei lalu.
Dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa, juara Seluruh England 2011 itu akhirnya terpaksa berundur ke tangga kedua dan menyerahkan gelaran pemain nombor satu dunia kepada pemain handalan China, Lin Dan.
"Chong Wei juga tidak tertekan dengan kedudukan ranking kerana keutamaan sekarang Olimpik dan pastikan emas pertama negara dapat direalisasikan," katanya sambil menyifatkan Chong Wei mempunyai peluang cerah untuk menggenggam emas pertama berdasarkan format baru berkumpulan yang baru diperkenalkan dalam saingan temasya sukan dunia kali ini.
Yakin dengan kemampuan anak didiknya, beliau mengakui format kali ini memberi kelebihan kepada pemain-pemain utama dunia sebagai aksi pemanas badan di peringkat kumpulan sebelum turun dalam pusingan sebenar di penentuan kejuaraan.
"Dengan 16 pasukan, peluang untuk semua pasukan hampir sama dan ia juga membantu Chong Wei untuk melakukan persediaan dengan bermain bersama pemain dari negara lain yang mendapat wildcard ke Olimpik," katanya.
Mengakui gusar dengan kecederaan Chong Wei yang masih belum pulih sepenuhnya, beliau berkata, persediaan mental kini menjadi keutamaan bagi mengelakkan fobia dan mengembalikan semula momentum sebenar dapat dipamerkan dalam saingan sebenar nanti.
"Bukan senang bagi seorang pemain yang jarang dilanda kecederaan yang tiba-tiba cedera dan mahu kembali semula di atas gelanggang dengan momentum yang sama," katanya.
0 comments:
Post a Comment