KUALA LUMPUR, 13 JUN 2012: Pelakon popular Irma Hasmie yang kini sudah lebih setahun tampil dengan imej berhijab bakal menamatkan zaman solonya tidak lama lagi bersama jejaka pilihan Reza Syah Azmeer Datuk Mohd Redzuan, 31, pada 29 Jun ini.
Pertemuan pertama di hadapan Kaabah itu telah membawa kepada keputusan mereka untuk mengikat tali pertunangan pada 29 Mac lalu di kediaman Irma..
Kad undangan ke majlis persandingan sudah pun diedarkan dan portal Murai sempat menghubungi Irma untuk bertanyakan persiapan terakhirnya itu sebelum bergelar isteri.
Kebetulan pula Irma kini berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah dan ketika dia menjawab soalan daripada portal Murai, Irma dalam perjalanan daripada Madinah ke Mekah.
"Saya sampai di Madinah pada 8 Jun lepas. Sekarang saya dalam perjalanan ke Mekah dan dijadualkan pulang ke tanahair pada 20 Jun ini. Buat masa ini segala aktiviti seni saya hentikan sebentar bagi memberi laluan untuk saya mengerjakan umrah dan membuat persiapan akhir.
"Alhamdulillah, persiapan akhir dari segi fizikal semuanya sudah saya usahakan mana yang terdaya sebelum berangkat ke Madinah. Manakala yang lain kedua-dua belah pihak dan tunang saya akan bantu.
"Kahwin adalah satu fitrah manusia dan sebagai khalifah juga hamba Allah kita kena memahami apa itu perkahwinan. Biar niat kita kerana Allah dan yang penting bukan persiapan perkahwinan semata tetapi kehidupan apabila berumahtangga adalah untuk mencari kebahagiaan dan keberkatan daripadaNya.
"Saya juga bersyukur kerana ada satu team yang dikumpulkan dan rakan-rakan produksi bagi membantu melancarkan persiapan terakhir, Alhamdulillah," jawab Irma mengenai persiapannya itu.
Menjawab pertanyaan mengenai bakal suami, Irma menjawab segala jodoh dan ketentuan ini adalah daripada Allah SWT dan dia menerima dengan hati yang terbuka.
"Saya bukan memilih Reza tetapi Allah yang mempertemukan kami di Mekah. Subhanallah, saya sangat bersyukur kerana anugerah yang diberikanNya ini dan keluarga Reza juga dapat menerima saya seadanya lalu merisik saya,"ujar Irma mengenai bakal suaminya itu.
Rancangan untuk berbulan madu masih belum dipastikan lagi dan mengenai anak pula Irma hanya berserah kepada Allah.
"Anak itu adalah rezeki Allah, lebih ramai anak bererti lebih luas rezeki kita, Amin," katanya lagi.
Irma menganggap pemergiannya ke Tanah Suci kali ini adalah secara kebetulan dan rezeki dari Allah SWT yang menjemputnya menjadi tetamu diwaktu dia bakal bergelar isteri. Dia sudah menempahnya sebelum menetapkan tarikh perkahwinannya bersama Reza.
Majlis pernikahan Irma Hasmie bersama Reza Syah Azmeer Datuk Mohd Redzuan akan diadakan pada 29 Jun di Dewan Persidangan Putrajaya jam 3 petang. Manakala persandingan akan berlangsung di MAEPS, Serdang hari yang sama jam 8 malam.
Pada hari pernikahan nanti, Irma akan mengenakan busana daripada pereka fesyen Hatta Dolmat dan majlis persandingan pula dia akan menyarungkan ilham rekaan Ezuwan Ismail.
0 comments:
Post a Comment