ALOR GAJAH: Pelik apabila seorang lelaki di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, di sini, selamba mengunyah pinggan, gelas serta cawan kaca yang dijadikan ‘hidangan sampingan’ sejak usianya belasan tahun hingga kini.
Lebih mengejutkan, Mohd Zamzuri Bashar, 39, turut meminum racun rumpai selepas menikmati makanan, malah mendakwa tidak pernah menghadapi masalah kesihatan akibat semua tabiat anehnya itu.
Bertugas sebagai juruteknik di sebuah agensi kerajaan, Mohd Zamzuri berkata, semuanya bermula secara spontan ketika dia masih bersekolah dan berkenalan dengan seorang ustaz dan mendalami ilmu ‘jati diri’.
Katanya, mulanya terasa janggal hendak menggigit kaca, namun lama kelamaan perasaan itu dapat dikikis tanpa dorongan sesiapa.
“Semuanya bermula apabila saya didatangi seorang ustaz mencadangkan saya yakin pada diri sendiri dan sentiasa mengamalkan ayat suci al-Quran sebagai amalan harian.
“Nasihat ustaz terbabit amat menyentuh hati kerana setiap perbuatan yang kita lakukan mestilah dengan ikhlas dan sentiasa beramal dengan al-Quran supaya kita tidak sesat,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, selepas beberapa bulan mendalami ilmu ‘jati diri’, keinginannya hendak mengunyah sesuatu mula memuncak namun hanya berselera pada barangan berkaca.
“Pada satu pagi ketika bersiap ke sekolah, saya tergigit gelas dan pecah kemudian secara spontan saya kunyah serpihan gelas itu seperti mengunyah kacang goreng.
“Sejak kejadian itu, saya pantang melihat gelas kaca atau pinggan pasti ada yang pecah atau rosak dimakan oleh saya tapi masih mampu mengawal perasaan sehingga sekarang,” katanya.
Beliau yang kini mengamalkan perubatan dan rawatan Islam berkata, selepas beberapa tahun berlalu amalan berkenaan sudah sebati dalam dirinya dan berterusan sehinggalah sekarang.
“Dalam rawatan secara Islam amalan makan kaca dapat kurangkan kesan santau lebih-lebih lagi yang dibuat melalui cara halus seperti sihir atau ilmu hitam,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pegawai Syarak negeri Melaka, Datuk Abu Khir Jamaluddin ketika dihubungi berkata, perbuatan memakan kaca bergantung pada keadaan tubuh badan individu itu sendiri.
“Jika ia bersesuaian rasanya tidak salah asalkan kena dengan tekniknya dan mestilah yakin dalam mengamalkan ayat suci al-Quran sebagai amalan seharian supaya tidak jatuh khurafat.
“Makan kaca adalah amalan bagi menghindari santau dan dimakan secara suka-suka oleh individu tertentu asalkan tidak bertentangan dengan Islam,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas isu berkenaan.
0 comments:
Post a Comment