23:37 0

‘Tersalah Dengar’ Punca Khabar Angin Kematian Remy

Semalam telah berlaku penyebaran khabar angin yang mengatakan pelakon terkenal, Remy Ishak meninggal dunia.

Isu berkenaan kecoh sebentar di laman sosial Twitter.
Namun, akhirnya terbukti apa yang tersebar itu sebagai tidak tepat. Remy Ishak sendiri telah menafikan perkara itu.
Hari ini, MyNewsHub cuba mendapatkan penjelasan dari salah seorang yang terawal dikatakan memulakan berita kematian Remy Ishak tersebut.
Penjelasan itu diperoleh dengan menghubungi pengguna berkenaan melalui akaun Twitter miliknya.
Menurut Henry (bukan nama sebenar), dia pada asalnya mendapat maklumat tersebut melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dari rakannya yang mendengar berita di salah sebuah stesen radio tempatan.
Lantas, Henry telah menyampaikan ucapan takziah ‘kematian’ Remy Ishak menerusi twitternya.
Selepas itu, berita berkenaan mulai Trending dan di Tweet kembali ramai lagi pengguna media sosial berkenaan.
Bagaimanapun, Henry selepas seketika mula meragui kesahihan berita yang disampaikan oleh rakannya.
Disebabkan rasa tidak sedap hati, Henry cuba untuk mendapatkan kepastian sekali lagi dari rakannya itu.
Kali ini, rakannya menjelaskan yang dia sebenarnya telah tersalah dengar nama yang disampaikan oleh penyampai berita.
Penyampai berita itu menyampaikan berita berkenaan kematian Datuk Tan Aminuddin Ishak, Exco Kerajaan Negeri Pahang dan bukannya Remy Ishak.
Justeru, Henry serta beberapa orang lagi peminat telah memohon maaf kepada Remy Ishak menerusi laman sosial twitter.
Jelas, kekeliruan itu mungkin berpunca dari nama akhir yang sama dan khabar Remy Ishak sedang sakit yang tersebar baru-baru ini, menyebabkan ada peminat yang mungkin tersilap dengar dan kemudian menyebarkan maklumat yang kurang tepat.
Bagaimanapun, dalam isu ini, penulis memuji tindakan Henry dan beberapa orang yang dengan ikhlas hati telah memohon maaf kepada Remy.
Namun, pengajaran yang boleh diambil ialah jangan jadikan laman sosial sebagai tempat untuk penyebaran khabar yang tidak dapat disahkan sepenuhnya.

0 comments:

Post a Comment