20:17 0

Azhar Tiada Masalah Ella 14 Tahun Lebih Tua Darinya

KLANG, 8 JUN 2012: Perkenalan selama 9 tahun yang terjalin di antara Ratu Rock Ella dengan juruterbang di syarikat pernerbangan Firefly, Azhar Ghazali akhirnya diakhiri dengan detik-detik yang cukup membahagiakan apabila kedua-dua mereka selamat diijabkabulkan di kediaman ibu Ella di Telok Gadong, Klang, Selangor pada malam tadi.





Hanya dengan sekali lafaz, Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin,46, sah menjadi isteri kepada Azhar Ghazali,32 kira-kira jam 10.30 malam. Pernikahan mereka itu disaksikan keluarga, saudara-mara, sahabat handai, peminat serta pihak media yang telah membanjiri kediaman tersebut sejak dari jam 8 malam lagi.
 
Pasangan ini telah dinikahkan Tuan Haji Baharudin Hj Abu Bakar dengan mas kahwin sebanyak RM50,300 dan upacara membatalkan air sembahyang yang dilangsungkan sejurus selepas itu menyaksikan Ella dan Azhar bertukar cincin. Ella menyarungkan cincin platinum jenama Bulgari di jari manis Azhar, manakala Azhar menyarungkan cincin emas jenama yang sama di jari manis Ella.
 
Selain itu, rombongan pihak pengantin lelaki turut menyerahkan 7 dulang hantaran berbalas 9 dulang daripada pihak pengantin perempuan. Terdahulu, Ella dan Azhar telah mengikat tali pertunangan sebelum diakad nikah Tuan Haji Baharudin Hj Abu Bakar.
 
Tergambar rasa lega di wajah Ella dan Azhar tatkala majlis pernikahan tersebut berakhir dengan sempurnanya.
 
"Selama ini, banyak kali saya diajukan pertanyaan bila saya nak kahwin. Alhamdulillah, segala-galanya telah selesai dan saya sudah pun tunjukkan dengan siapa saya berkahwin. Inilah suami saya, Azhar Husairi Ghazali. Dan, kalau ditanyakan perasaan saya ketika ini, saya memang cukup gembira.
 
"Biarpun sudah berkahwin tetapi saya akan tetap meneruskan kerjaya seni saya seperti biasa, saya akan tetap menyanyi. Cuma, mungkin kali ini, apa yang saya lakukan itu akan ada hadnya," kata Ella yang cukup jelita mengenakan persalinan daripada pereka fesyen, Syaiful Bahrim.
Jelas Ella lagi, dia memilih Azhar sebagai pasangan hidupnya kerana lelaki tersebut seorang yang baik dan penuh tanggungjawab.
 
"Saya melihat dia bukan dari sudut luaran semata-mata tetapi juga dari sudut dalamannya. Apa yang saya boleh katakan, sifat-sifat dalamannya itu yang sebenarnya telah membuka hati saya untuk menerimanya sebagai pasangan hidup," katanya lagi dengan rasa malu-malu.
 
Sementara itu, Azhar pula berkata, dia bersyukur kerana selepas beberapa mereka berusaha untuk menyatu, akhirnya mereka telah berjaya jua disatukan pada majlis tersebut dengan restu daripada semua pihak terutamanya keluarga.
 
"Saya menyukai Ella kerana dia seorang yang cukup bersederhana, dalamannya juga cukup baik, dia juga pandai ambil hati orang termasuk keluarga saya dan dia seorang yang cukup mengambil berat. Rasanya, kami memang sangat serasi bersama dan akmi juga amat percaya dengan kuasa Tuhan,"katanya.

Ditanya bilakah dia melamar Ella, Azhar berkata, lamaran itu dibuat pada awal tahun ini.
 
"Saya membuat lamaran tersebut di hadapan ibu Ella dan Ella juga ada bersamanya pada waktu itu.Tentang perbezaan usia kami, bagi saya itu bukanlah satu masalah sebab kalau kita ambil contoh Rasulullah pun,dia tersangat muda sewaktu mengahwini Siti Khadijah,"katanya yang berbeza usia dengan Ella selama 14 tahun.
 
Jelas Azhar lagi, dia tidak akan menghalang Ella untuk meneruskan kerjayanya kerana dia sedar itu adalah minat dan kecintaanya.
 
"Saya tidak akan halang dia menyanyi. Tapi, mungkin selepas ini, apa yang dilakukannya itu ada hadnya. Sepanjang 9 tahun mengenali Ella, saya faham dengan kerjayannya sebagai penyanyi, saya tahu dengan apa yang dilaluinya (kontroversi) dan saya kenal dengan muziknya. Jadi saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa jua cabaran selepas ini.
 
"Sebagai manusia, saya juga turut mengalami apa yang dialami Ella. Cuma yang membezakan saya dan dia adalah dari sudut kerjaya. Dia seorang penghibur dan saya adalah orang biasa," katanya.
 
Ditanya adakah suaminya itu boleh menyanyi, Ella cepat-cepat memandang Azhar sambil bertanya: "Apa lagu yang selalu awak nyanyi untuk saya tu? Boleh nyanyikan tak bagi diaorang dengar?".
 
Azhar bagaimanapun seperti sekana-akan malu-malu untuk melakukannya. Namun kata Ella, Azhar gemar menyanyi dan punya lagu-lagu kegemarannya sendiri.
 
"Antara lagu yang sering dinyanyikannya untuk saya adalah lagu daripada Pink Floyd, Led Zeppelin dan Harvey Malaiholo.
 
Sambung Azhar pula, dia sebenarnya turut menyukai muzik dan terlibat juga dengan bidang ini secara tidak langsung.
 
"Malah, saya ada buat lagu dan kasi Ella dengar,"katanya lagi.
Mengenai cahaya mata pula, Azharberkata, dia dan Ella menyerahkan hal tersebut kepada Tuhan.
"Apa saja yang diberi, kami akan terima,"katanya.
 
Namun, Azhar agak keberatan untuk mengumumkan destinasi percutian bulan madu mereka.
 
"Biarlah ia menjadi rahsia," katanya yang turut memberitahu bahawa majlis perkahwinan di sebelah pihaknya akan diadakan seminggu selepas majlis akad nikah tersebut di Muar, Johor .

0 comments:

Post a Comment