12:43 0

Amir Dan Rakan Didakwa Cuba Bunuh, Bakar Remaja Wanita


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh teman wanitanya dengan cara membakar menggunakan petrol sehingga melecur anggota badan.
Turut didakwa rakan lelaki berkenaan dengan pertuduhan sama mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim S. M Komathy Suppiah.
Teman lelaki wanita itu, Mohd Amir Mohd Anuar, 19, dan rakannya Muhammad Faiz Kamaruddin, 24, didakwa bersama-sama dengan niat cuba membunuh Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, dengan membakarnya sehingga menyebabkan cedera sehingga 30 peratus pada anggota badannya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kawasan semak di belakang Puspakom, Wangsa Maju pada pukul 3.15 pagi, 13 Ogos lalu.
Mohd Amir, yang bekerja di Hotel Sheraton, di sini, diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid manakala Muhammad Faiz bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak diwakili peguam.
Pendakwaan, yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes tersebut tidak boleh dijamin.
Sementara itu, pegawai penyiasat kes tersebut, Insp Chua Sze Yuan, yang hadir ke mahkamah hari ini ketika ditanya Komathy memberitahu mahkamah bahawa mangsa masih koma dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Hakim Komathy menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes.
Kedua-dua mereka ditahan di Penjara Sungai Buloh. – Bernama

0 comments:

Post a Comment