PENANTIAN negara Singapura selama 52 tahun menyaksikan kilauan pingat daripada acara individu Sukan Olimpik akhirnya menjadi kenyataan.
Ini menyusuli kejayaan pemain tenis meja wanita, Feng Tianwei, merangkul pingat gangsa, mengatasi peserta Jepun, Kasumi Ishikawa, yang turut disaksikan sama oleh peminat sukan nombor satu Republik, Presiden Tony Tan Keng Yam, di Arena ExCel, lewat malam kelmarin.
Kemenangan Feng mengatasi Kasumi dengan empat set, 11-9, 11-6, 11-6, 11-5, turut menerima pujian daripada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Dalam ucapan tahniahnya, Encik Lee menyatakan bahawa beliau sendiri turut bersama mengikuti pertarungan tersebut di kaca televisyen.
“Pingat individu pertama Olimpik bagi Singapura dalam 52 tahun! Kami amat bangga dengan anda,” kata Encik Lee.
Pingat tersebut lebih manis kerana ia merupakan hadiah Feng untuk negara angkatnya yang bakal menyambut hari lahirnya pada 9 Ogos dan Feng bakal merayakan hari lahirnya yang ke-26 pada 31 Ogos.
Pemain Singapura yang berada di tangga kelapan dalam ranking dunia itu akur cabaran yang bakal dihadapi ketika menentang Kasumi, di tangga keenam, adalah mencabar kerana lawannya dari Jepun itu merupakan antara pemain berbakat besar.
Bagaimanapun, apa yang jelas, Feng yang kalah kepada pemain nombor satu dunia, Ding Ning, di peringkat separuh akhir, mampu bangkit menampilkan yang terbaik bagi mengatasi lawannya.
Kejayaan tersebut sekali gus bukan sekadar menambah pingat perak individu yang dimenangi oleh ahli angkat berat, Tan Howe Liang, di Sukan Olimpik Rome 1960, malah membawa sama ganjaran $250,000 yang disediakan daripada skim insentif sukan negara. (Berita Harian Singapura)
0 comments:
Post a Comment