KUALA LUMPUR: Walaupun memiliki raut wajah yang kacak serta tawaran berlakon yang tidak pernah putus, pelakon Aaron Aziz tetap melalui cabaran dan dugaan apabila terpaksa mengambil masa selama tujuh tahun untuk berada mengumpul kekayaan.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 36, berkata, tempoh itu bukannya mudah untuk dilaluinya apatah lagi dia seorang warga negara Singapura.
"Saya bersyukur dengan segala kejayaan yang dimiliki sekarang ini. Tambahan pula apabila mendapat kerakyatan sebagai penduduk tetap Malaysia baru-baru ini, ia lebih memudahkan saya untuk melakukan pelbagai perkara.
"Untuk menjadi seperti sekarang, banyak halangan yang saya lalui. Syukur sekali lagi, kini saya dapat mengumpul sejumlah harta bagi menampung diri dan keluarga," katanya.
Tambah Aaron, kedudukan kerjayanya sebagai pelakon yang semakin dikenali membolehkan dia memiliki beberapa buah kereta antaranya ialah Nissan GTR serta Nissan Teana.
Malah dia dan isteri, Diyana Halik, turut merancang untuk membeli rumah memandangkan sebelum ini mereka hanya menyewa di Damansara, dekat sini.
Dalam pada itu, Aaron juga mahu membuat pelaburan harta tanah agar dapat menjamin masa depan keluarga terutama anak-anaknya iaitu Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa yang berusia dua tahun.
"Saya bercerita ini bukan mahu menunjuk-nunjuk. Tetapi ini adalah satu pengajaran untuk diri saya dan artis-artis lain.
"Diyana selalu pesan, tidak selamanya kita (sebagai pelakon) berada di kemuncak kerana pada bila-bila masa sahaja, populariti itu akan pudar, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai artis baru.
"Jadi, jika sudah ada sedikit wang lebih, eloklah kita lakukan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada kita pada masa akan datang.
"Lagipun, sebagai pelakon, nak bina aset bukannya mudah. Apa-apa pun terpulanglah kepada setiap individu. Saya percaya masing-masing memiliki cara tersendiri dalam hal penyimpanan wang," tuturnya.
Beritahu Aaron lagi, dia ingin bekerja sebaik mungkin di negara ini agar dapat memberikan keselesaan hidup kepada isteri dan anak-anak.
"Saya bukannya orang senang dan saya tidak mahu isteri dan anak-anak merasai kesusahan hidup yang pernah saya alami dahulu. Kalau boleh biarlah mereka ditinggalkan sedikit harta sebelum saya pergi," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aaron telah menyumbangkan suaranya menerusi watak Laksamana Aaron bagi filem animasi Supersquad The Movie yang bakal ditayangkan di pawagam pada Disember 2013.
Selain itu, pelakon itu juga sedang dalam persiapan untuk penggambaran rancangan Fear Factor pada Oktober depan.
0 comments:
Post a Comment