19:06 0

Filem "Hantu Kapcai" jangka kutipan pecah panggung



13 Sep – Selepas kecewa terhadap filem Streoskopik 3D pertama Malaysia, "29 Februari", Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim meletakkan sasaran yang agak tinggi pada filem komedi baru mereka berjudul "Hantu Kapcai".
Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Norman menjangkakan filem ini akan diterima baik oleh penonton kerana genrenya yang agak sinonim dengan kehendak penonton tempatan pada masa kini.
" Saya sebenarnya tidak menjangka kutipan bagi filem 3D '29 Februari' begitu kurang. Kami menggunakan tema Merdeka dan juga kesan khas terbaru untuk filem itu. Mungkin saya meletakkan harapan terlalu tinggi. Namun kali ini saya berharap "Hantu Kapcai" akan mengembalikan kekecewaan saya terhadap filem sebelum ini,"ujar Norman.
"Hantu Kapcai" bukanlah filem pertama diarahkan oleh pengarah Ghaz namun ianya juga menggunakan syarikat produksi pertama dibawah Showbiz Productions iaitu anak syarikat baru KRU Studios.
"Kami mengambil inisiatif membuka sebuah lagi syarikat produksi dibawah jenama KRU Studios disebabkan kami cuba untuk membahagikan tugasan di dalam produksi filem dimana contohnya, pihak KRU akan lebih fokus dengan penghasilan filem berbentuk fantasi yang menggunakan teknik CGI dan kesa khas yang lebih.
"Manakala Showbiz productions akan menghasilkan filem yang lebih tertumpu kepada minat masyarakat kita dimana genre komedi, seram dan juga drama menjadi taruhan. "
Selain daripada filem "Hantu Kapcai" empat filem lain akan menyusul dibawah syarikat produksi Showbiz dan kesemua filem tersebut kini masih berada di peringkat pos produksi.
Norman turut menjawab bahawa mereka hanya akan menerbitkan naskah filem yang memberikan pengajaran kepada penonton dan menolak isu negatif yang seringkali menjadi sandaran sesetengah penerbit filem seperti isu rempit.
"Walaupun filem ini berkisar mengenai Mat Rempit, namun kami cuba menyampaikan perkara positif kepada peminat filem di luar sana melalui babak negatif yang benar – benar terjadi di dalam masyarakat kita.
"Daripada melakukan filem yang bertemakan fakta kami cuba memberikan pembaharuan dengan menerbitkan filem yang dekat dengan hati penonton contohnya perkara yang terjadi di seharian kita ."
Sementara itu, pengarah filem "Hantu Kapcai", Ghaz menyatakan dia mahu menarik lebih ramai orang supaya menghayati kisah di sebalik filem "Hantu Kapcai" di dalam panggung wayang berbanding membanggakan filem luar negara.
"Pada saya, "Hantu Kapcai" mempunyai jalan cerita yang menarik. Saya berharap filem ini akan membawa lebih ramai penonton ke panggung wayang dan menyokong filem tempatan. Bukan hanya menonton di laman Youtube ataupun dengan cara muat turun secara haram. "
Filem "Hantu Kapcai" ini dibintangi pelakon hebat seperti Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz, Hairulazreen, Neelofa, Izzue Islam and Riz Amin.
Filem ini mengisahkan tentang Ajib (Zizan) seorang mat rempit yang mempunyai masalah kewangan. Dia cuba menyelesaikan hutangnya dengan memasuki perlumbaan haram. Namun sayangnya, dia mati ketika perlumbaan selepas dicabar oleh musuhnya Tiger (Remy).
"Hantu Kapcai" akan menemui penonton di pawagam pada 27 September serentak di Malaysia dan Brunei.

0 comments:

Post a Comment