Maya yang bercerai dengan Muhammad Ali Abdullah atau nama sebenarnya Steven David Shorthose pada 16 Julai 2010 berkata, pintu hatinya kini telah terbuka dan bersedia menerima cinta daripada mana-mana lelaki.
Dia yang baru selesai menjalani penggambaran filem Jwanita, arahan Osman Ali itu berkata, sudah tiba masa untuknya memikirkan soal masa depan.
"Saya bersedia untuk bercinta semula selepas kegagalan rumah tangga dulu. Kalau ada yang sudi, apa salahnya. Setakat ini hati saya masih kosong, belum ada 'penghuni'.
"Cerita yang mengatakan saya rapat dengan seorang ahli perniagaan itu tidak benar. Saya sendiri tidak sangka di Malaysia pun ada paparrazi yang merakam foto saya dengan orang berkenaan dari jarak jauh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Maya yang popular dengan watak Izzah dalam filem Ombak Rindu berkata, walaupun cerita itu tidak benar, namun dia tidak marah kerana tahu itu sebahagian daripada tugasan pihak media.
Dia yang bakal tampil dengan lagu Sinar Ini bersama penyanyi dan komposer Yassin berkata, bukankah lebih senang kalau media bertanya terus kepadanya.
"Saya tahu kerja media kerana mereka perlu cari bahan dan sebab itu saya tidak marah. Tapi kalau bertanya terus pasti tidak akan timbul cerita yang bukan-bukan.
"Insya-Allah kalau sudah temui lelaki idaman untuk dijadikan teman hidup, pasti saya beritahu. Lagipun perkara elok tak baik disembunyikan," katanya terus-terang.
Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008 itu berkata, bagi mengisi kekosongan hati buat masa ini, dia lebih senang memberi tumpuan pada kerjaya atau hobinya yang suka menyelam.
"Setiap kali selesai satu projek, saya akan ambil masa untuk berehat. Sekarang ini saya dan rakan-rakan sedang merancang untuk pergi menyelam. Tengah cari tempat yang sesuai," jelasnya.
UTUSAN
0 comments:
Post a Comment