PETALING JAYA: Pelakon Miera Leyana mengakui kegagalan hubungannya dengan pelakon Shahrizal Jaszle mempunyai hikmah yang besar kerana ia mengajarnya agar tidak lalai kerana cinta.
Miera, 19, berkata, pada satu fasa kehidupan dia menyangka cinta adalah segala-galanya namun akhirnya menyedari pada usia muda masih banyak perkara yang boleh dilakukan bagi memajukan diri.
"Masa bercinta dengan dia (Shahrizal Jaszle) saya rasakan dia adalah segala-galanya sehingga saya lupa tentang perkara lain namun kekecohan dalam perhubungan kami akhirnya memberi saya hikmah yang cukup besar.
"Saya mengakui sebagai seorang yang masih muda, saya tidak sepatutnya meletakkan soal hati dan perasaan cinta sebagai keutamaan kerana masih banyak perkara yang boleh saya lakukan selain terlalu memikirkan soal berkenaan," ujarnya.
Pelakon itu ditemui mStar Online pada majlis pelancaran filem-filem terbitan Grand Brilliance 2012 di sini pada Rabu.
Tambah Miera dia bersyukur kerana tersedar daripada 'lamunan' itu lebih awal kerana pada peringkat berkenaan dia dapat meningkatkan kerjayanya selepas episod percintaan dengan pelakon kacak itu berakhir.
"Saya harus berterima kasih kepada dia kerana berjaya buat saya sedar bahawa cinta bukan segala-galanya dan saya kini gembira dengan kehidupan sekarang," ujar Miera.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan Shahrizal yang bakal bertunang dengan seorang pelajar kedoktoran, Miera berkata, dia sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka tanpa ada perasaan dendam.
"Saya tiada apa-apa perasaan dendam atau marah kepada Shahrizal kerana hubungan kami telah pun menjadi sejarah dan apa juga keputusan yang dia buat adalah untuk masa depannya. Saya doakan yang terbaik buat dia.
Tambah Miera, hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan mereka pernah diberi peluang oleh sebuah syarikat produksi untuk berlakon bersama menerusi drama berjudulHarapan selepas tiga bulan berpisah.
Sementara itu, Miera berkata dia teruja dan berdebar apabila masih menanti empat buah filem lakonannya iaitu Pencinta, Pecah, Lebuhraya Ke Neraka dan Dendam Orang Matiyang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.
0 comments:
Post a Comment