22:04 0

Saya Sedia Berjumpa Rita – Ayu Raudhah


KUALA LUMPUR – Umum mengetahui dengan mendalam mengenai kemelut masalah yang melanda dalam rumah tangga pelakon wanita, Rita Rudaini dan suaminya, Aidil Zafuan sejak beberapa tahun ini.
Baru-baru ini, kecoh mengenai perang yang tercetus sekali lagi antara Rita dan adik iparnya, Zaquan Adha di laman sosial Twitter apabila masing-masing menggelarkan diri masing-masing sebagai meroyan.
Rita dalam statusnya tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan yang menerima balasan Tuhan kerana susah untuk mendapatkan anak selepas berkahwin.
Zafuan yang mungkin terpukul dengan kenyataan Rita yang secara terang menujukan status itu kepada dirinya dan isteri, Ayu Raudhah terus menggelarkan diri kakak iparnya sebagai meroyan.
Ayu yang ketika ini baru sahaja hamil sedar dengan masalah yang timbul antara suaminya dan Rita.
Justeru itu, dia bersedia untuk bertemu dengan Rita secara depan-depan untuk meleraikan segala rasa tidak puas hati yang terbit di hati birasnya itu.
“Saya sedia berjumpa dengan dia (Rita Rudaini) jika tindakan itu boleh menjernihkan keadaan. Saya tidak ada masalah dengan dia dan saya juga hairan mengapa hubungan kami jadi begini. Saya memang tidak mengenali dia secara dekat kerana sepanjang tempoh berkahwin dengan suami, kami tidak pernah berjumpa.
“Tetapi, saya pernah berjumpa dengannya sekali iaitu ketika kami sama-sama berlakon dalam drama Rafflesia tidak lama dahulu. Bagi saya, Rita seorang yang baik,” kata Ayu yang dipetik dari laman portal Gua.com.
Mengakui yang dia juga turut terkena tempias masalah tuduh-menuduh, Ayu tidak dapat lari dari menerima cemuhan dan dimarah oleh ramai pihak di akaun Twitternya.
Namun, dia lebih mahu bersikap positif dan memikirkan masalah itu adalah satu cabaran dalam dunia artis supaya tidak mengganggu kandungannya yang masih lagi awal.
“Memang tidak dinafikan saya dimarah dan dicemuh melalui akaun Twitter, tetapi saya tidak mengambil serius perkara itu. Jauh sekali berasa tertekan.
“Saya tidak ambil serius sangat tentang perkara ini kerana saya anggap ia satu salah faham. Lagipun saya sudah terbiasa dengan hal-hal kontroversi ini. Sebagai seorang artis, saya tidak mungkin akan terlepas daripadanya,” katanya.
Memikirkan masalah mengenai Rita dan Aidil masih lagi tidak berkesudahan, Ayu lebih suka untuk mendiamkan diri dari sebarang isu yang timbul.
“Bukan saya tidak pernah mencuba. Tetapi, bukan semua orang boleh terima penjelasan saya. Jadi, lebih baik saya diamkan diri. Daripada sebelum kahwin sampailah sekarang ini, isu ini tidak pernah habis.
“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di antara kami. Suami pun nasihat supaya tidak panjang-panjangkan hal ini,” katanya lagi.
-GUA-
myNEWShub

0 comments:

Post a Comment