Robin van Persie meledak hatrik untuk menyelamatkan Manchester United dengan kemenangan 3-2 ke atas Southampton di tempat lawan malam tadi, kemudian tampil meminta maaf kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Penyerang yang dibeli United daripada Arsenal dengan harga 24 juta pound itu melakukan kebangkitan penuh dramatik pada penghujung permainan selepas sepakan penaltinya pada pertengahan babak kedua diselamatkan penjaga gol Southampton.
“Hatrik pertama saya bersama United ini cukup bermakna kerana ia memberikan tiga mata penuh dan mengurangkan sakit kepala. Saya tak tahu apa yang saya fikirkan dengan sepakan penalti itu.
“Saya mahu merembatnya kencang seperti kebiasaan tetapi pada beberapa saat terakhir saya ubah fikiran dan menjadi satu sepakan lemah. Ia membuatkan moral saya menurun.
“Memang benar, ketika ketinggalan 1-2, kamu tak sepatutnya buat sepakan penalti seperti itu. Saya wajar dipersalahkan dan akan cuba memperbaikinya. Mujur kami bernasib baik dapat menjaringkan dua gol selepas itu dan menang 3-2,” kata Van Persie.
Ia merupakan perlawanan ke-1,000 buat pengendali United, Alex Ferguson dan tuan rumah terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Ricky Lambert pada minit ke-16 sebelum Van Persie menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian.
Morgan Schneiderling kembali meletakkan Southampton di hadapan pada minit ke-55 dan United hanya berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-87 menerusi Van Persie selepas sepakan penaltinya pada minit ke-67 ditepis keluar Kelvin Davis.
Van Persie kemudian menjaringkan gol kemenangan United pada minit ke-92 yang turut merupakan gol ke-100 peribadinya dalam Liga Perdana Inggeris.
0 comments:
Post a Comment