PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia menganggap tuduhan yang mengatakan dia berlaku curang sehingga menyebabkan konflik dalam rumah tangganya bersama Chef Riz sebagai kontroversi yang tidak dapat dielak dalam dunia hiburan.
Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, berkata, dia tidak perlu melenting atau terkejut kerana tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana dia sibuk bekerja hampir setiap hari.
“Saya tidak terkejut pun dengan tuduhan ini kerana ia tidak berlaku. Demi Allah, saya tidak pernah curang kerana hampir setiap hari saya sibuk bekerja.
“Saya percaya isu ini timbul kerana perasaan dengki dan cemburu pihak tertentu terhadap rumah tangga kami.
"Ia adalah perkara normal dalam dunia hiburan,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Gosip terbaru mengenai perkahwinan Ana dengan anak lelaki chef tersohor, Chef Wan ini kembali diperkatakan apabila Ana didakwa kerap keluar bersama bekas teman lelakinya.
Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.
Ditanya mengenai tuduhan tersebut, bekas pramugari AirAsia ini memberitahu dia dan bekas teman lelakinya sudah terputus hubungan dan membawa haluan hidup masing-masing.
“Bagi saya, kisah dengan bekas kekasih adalah perkara lepas dan ia sudah lama berakhir.
"Saya tidak pernah berhubung dengan dia, apatah lagi untuk keluar bersama atau menjalin hubungan semula.
“Saya pun tidak tahu di mana dia dan mungkin juga sudah berkahwin. Kalau betul saya keluar dengan bekas kekasih, pernah ke ada pihak yang nampak atau jumpa kami?” soalnya.
Kata bekas peserta rancangan Pilih Kasih musim pertama ini, dia enggan mengambil peduli mengenai gosip itu kerana kebenaran sesuatu perkara terletak hanya diketahui oleh Allah.
“Tuhan maha mengetahui setiap apa yang berlaku. Tidak perlulah saya bersusah-payah hendak menafikan atau sembunyikan kisah ini jika benar saya berlaku curang.
“Kalau ia benar-benar berlaku, lambat-laun orang pasti tahu juga,” katanya yang mengakui pelbagai dugaan hidup yang berlaku menjadikannya semakin kuat dan tabah.
Dalam perkembangan lain Ana berkata, dia mengalami demam dan sakit tekak kerana kurang rehat ekoran komitmen pada penggambaran drama bersiri 26 episod berjudulCinta Itu Bukan Milikku arahan Emi Suffian Sabhe yang pernah mengarahkan Vanila Coklat sebelum ini.
“Saya tidak sihat dan hilang suara sekarang. Mungkin kerana saya kurang rehat dan banyak menjerit untuk babak-babak saya diserang histeria dalam drama terbaru Cinta Itu Bukan Milikku.
“Penggambaran drama ini masih berlangsung sehingga hujung bulan hadapan. Insya-Allah ia akan ditayangkan untuk slot Akasia di TV3 pada awal November nanti,” katanya.-mStar
0 comments:
Post a Comment