11:32 0

Filem Banyak Rendah Kualiti - Yusof Haslam


DI sebalik kerancakan industri perfileman tanah air dengan penayangan 77 buah filem dalam tahun ini saja, tetapi hasil kutipannya pula adalah tidak sekencang atau sesuatu yang boleh dibanggakan.

Jika dilihat dalam jangka masa sebulan yang lalu, hanya filem keluaran KRU Studios, Hantu Kapcai berjaya mencatat kutipan yang dilihat agak memberangsangkan serta memecah kelembapan kutipan tiket filem-filem tempatan apabila mengutip sebanyak RM2 juta dalam masa lima hari tayangannya.
Bercakap mengenai perkara ini, pengarah dan penerbit tersohor negara yang juga bergelar ‘Six Million Dollar Man’, Datuk Yusof Haslam, 58, menyatakan kualiti sesebuah filem tidak bergantung kepada kutipan jualan.
“Sebagai contoh, filem 29 Februari, filem ini bagus tapi mungkin kutipannya tidak begitu baik, begitu juga Bunohan yang saya sifatkan sebuah filem yang mempunyai sinematografi yang baik," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran Festival Filem Malaysia 25 (FFM25), semalam.
Ketika ditanya mengenai pencalonan untuk FFM kali ini, Yusof Haslam yang merangkap Timbalan Pengerusi Penerbit Malaysia (PFM) menjelaskan, penyertaan dibuka kepada setiap filem yang telah mula ditayangkan antara 27 Oktober 2011 sehingga 31 Oktober tahun ini dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 2 November depan.
FFM25 yang bertemakan ‘Merayakan Perak, Mengilhamkan Emas’ dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama PFM akan diadakan pada 26 hingga 30 Disember depan dengan malam kemuncaknya bakal diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.
"Semua filem layak yang layak bertanding kemudiannya akan disaring untuk ke 'top five’ atau ’top 10’ (yang akan umumkan nanti),” katanya.
Yusof turut mengulas mengenai industri perfileman yang semakin berkembang dan kelihatannya semua orang seperti ghairah mahu membikin filem.
"Seperti yang kita tahu, lambakan filem yang dihadapi industri kita sekarang menyebabkan penonton menjadi lebih selektif dalam memilih filem yang ingin ditonton di panggung wayang dan maaf cakaplah, kebanyakan filem yang dihasilkan sekarang adalah rendah kualitinya.
"Sebenarnya, cukup susah untuk membuat filem kerana filem memerlukan penelitian yang lebih serta seseorang itu juga harus mempunyai ilmu bagaimana untuk menghasilkan filem yang baik serta berkualiti,” katanya.
Yusof turut berpesan, seseorang penerbit itu juga perlu membuat filem berdasarkan kepada selera penonton atau memilih topik yang dekat dengan hati penonton kerana kuasa beli adalah datang daripada penonton itu sendiri.

0 comments:

Post a Comment