18:07 0

Penerbit Anggap Zaiton Sameon Tidak Berfikir Dengan Sempurna


Zaiton Sameon
PETALING JAYA: Penerbit Eksekutif filem Zaiton Ceritaku, Burhanuddin Md Radzi tidak mengambil serius luahan tidak puas hati Zaiton Sameon terhadap filem itu kerana memahami situasi penyanyi tersebut yang gagal untuk berfikir dengan sempurna.
Burhanuddin berkata, setiap perincian mengenai plot dan skrip filem itu ditulis berdasarkan cerita Zaiton sendiri dan mendapat keizinan daripadanya sebelum penggambaran bermula.
“Kami tidak reka-reka cerita dalam filem itu. Semua cerita mengenai filem itu datang daripada mulut Zaiton sendiri hasil temu bual isteri saya Ainon Ariff dengannya sebelum skrip dihasilkan.
“Apabila skrip siap, Zaiton sudah baca skrip dulu sebelum menandatangani perjanjian. Kalau soal bayaran pampasan dia ingat... takkan soal dia sudah baca skrip filem itu dia lupa pula?
“Namun, menyedari keadaannya yang tidak begitu sihat, kami tidak ambil pusing dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.
Burhanuddin Md Radzi
Burhanuddin berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan penyanyi itu yang kecewa dengan penghasilan filem berkenaan terutamanya watak kurang siuman yang ditonjolkan selain terkilan tidak diberi penjelasan sebelum skripnya dihasilkan.
Kata Burhanuddin, filem itu dihasilkan atas dua matlamat iaitu untuk membantu menaikkan semula nama Zaiton dan menyedarkannya mengenai realiti sebenar kehidupannya pada hari ini.
“Saya gembira apabila kami berjaya mencapai dua objektif menghasilkan filem itu. Pertama, kami mahu membantu menaikkan semula namanya. Perkara itu terbukti apabila dia sudah dapat menghasilkan album baru dan menerima pelbagai tawaran nyanyian.
“Yang kedua, kami mahu tunjukkan kepadanya realiti sebenar kehidupannya pada hari ini, bahawa dia bukan lagi Zaiton Sameon yang diva dan “besar” seperti dulu.
“Masalahnya, dia tidak boleh terima hakikat apabila melihat babak-babak yang dipaparkan mengenai dirinya dalam filem itu,” katanya.
Ditanya tidakkah dia bimbang jika keluarga atau peminat penyanyi itu menganggap pihak produksi cuba memanipulasi Zaiton, Burhanuddin berkata, fakta sebenar kehidupan penyanyi itu sudah diperhalusi dan diolah demi menjaga aibnya.
Zaiton bersama Nadia Aqilah yang menggalas wataknya dalam Zaiton Sameon.
“Kita paparkan kandungan filem itu berdasarkan cerita sebenar daripada mulut dia. Kami tidak kenal dia secara peribadi dan tidak tahu pun cerita-cerita dalamannya.
“Jadi, apa yang ditonjolkan itu tentulah datang daripada dia sendiri. Malah, demi menghormati sensitiviti keluarganya, kami olah agar filem itu lebih halus daripada fakta sebenar
“Saya rasa tidak timbul soal mengambil kesempatan ke atasnya di sini,” katanya.
Zaiton Ceritaku berkisar mengenai liku-liku dilalui penyanyi lagu Menaruh Harapan itu selepas ditimpa kemalangan ngeri yang meragut nyawa anak tunggalnya Azirwan Abu Bakar pada 21 Februari 1990.
Ia memaparkan pahit getir kehidupannya yang berdepan trauma akibat kemalangan itu sehingga banyak pihak menganggapnya tidak siuman.
Diarahkan Esma Daniel, filem biografi itu dibintangi Nadia Aqilah, Sahronizam Noor, Karl Shafek, Arash Mohamad, Norlia Ghani dan Fazlina Ahmad Daud.
Ia akan ditayangkan bermula 1 November depan.-mStar-

0 comments:

Post a Comment