19:29 0

Pembunuh Sosilawati Dihukum Gantung



Pembunuh Sosilawati Dihukum Gantung

Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi. – BERNAMA

-----------------------------------------------------------------

Erni: ‘ Bersyukur dengan pembalasan hukuman’ 

“Saya amat bersyukur kerana selepas tiga tahun menunggu akhirnya kami mendapat jawapannya,” demikian luahan anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, iaitu Erni Dekritawati Yuliana Buhari selepas mahkamah membuat keputusan berhubung kes pembunuhan ibunya itu.

Menurut Erni , kematian ibunya itu akhirnya mendapat pembelaan.
“Saya hanya menunggu dalam kereta kerana tiada kekuatan untuk mendengar keputusan mahkamah ini. Hanya selepas keputusan diumumkan barulah saya berani keluar dan berada di mahkamah ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Erni berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang mensabitkan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas.

Kesemua mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Sosilawati dan pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, lain ditemui dibunuh dan dibakar di dalam sebuah ladang kelapa sawit, pada 2010.

Sementara itu, isteri Noorhisham, Suzanah Raden Pangat gembira kerana kematian suaminya telah terbela.
“Saya menghormati keputusan mahkamah ini dan saya amat bersyukur,” katanya.


0 comments:

Post a Comment