10:30 0

Temubual Bersama Bekas Tunang Shah Jaszle, Redzwani Puteri

Redzwani Puteri yang dihubungi menerusi WhatsApp berkata, dia mengakui ibunya telah membuat keputusan untuk memulangkan semula cincin pertunangannya kepada keluarga Shahrizal.
Walaupun bukan dengan kerelaan hatinya, sebagai anak, dia terpaksa akur permintaan ibu yang mahu memutuskan pertunangan tersebut.

"Saya dan Shahrizal memang tiada masalah. Tetapi sebagai anak saya perlu menghormati keputusan kedua-dua ibu bapa saya. Kerana untuk meneruskan perhubungan ini, restu itu sangat penting," ujarnya.


Komen Putri berhubung dengan isu kalian sudah putus tunang?
Memang ikatan pertunangan kami dah putus tetapi atas kehendak keluarga dan bukan kerelaan kami. Saya dan Shah (Shahrizal) tidak ada masalah. Kami masih baik.

Jika dahulu cinta kamu dan Shahrizal direstui, tetapi ia sudah berubah. Adakah ini dikira cinta terhalang?
Susah nak cakap. Hati dan perasaan susah untuk dikawal. Tetapi saya perlu hormat keluarga saya. Jadi sekarang ini saya mampu berserah saja.

Selepas keluarga memutuskan ikatan pertunangan, masih lagi berjumpa dengan Shahrizal?
Ya, masih. kami berjumpa untuk menyelesaikan isu ini.

Sayangkan Shahrizal lagi?
Ya. Saya tak mahu tipu tentang hal itu. Bukan senang untuk tiba-tiba berhentikan perasaan cinta itu. Lebih-lebih lagi kami sebelum ini adalah kawan baik dan kemudian bertukar menjadi cinta. Ia bukan satu benda yang mudah untuk dilupakan. Tetapi pada masa sama saya perlu menghormati keluarga.

Sedih apabila hal ini berlaku?
Siapa yang tak sedih? Alhamdulillah saya boleh kawal perasaan apabila berdepan dengan orang. Cuma apabila ada yang bertanyakan tentang perhubungan kami, perasaan sebak itu akan timbul.

Jadi apa perancangan Puteri selepas ini?
Buat masa ini keadaan masih lagi tegang. Apa yang saya boleh buat cuma berdoa sahaja. Saya percaya, jika kami ada jodoh takkan ke mana.

Risau perhubungan kalian tak menjadi?
Saya serahkan kepada takdir.

Adakah dugaan ini menguatkan lagi cinta kalian?
Ia membuatkan kami berdua lebih memahami diri masing-masing dan menguatkan lagi diri kami.

Kata-kata akhir daripada Puteri?
Saya hanya mampu berdoa yang terbaik. Bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada semua pihak media yang tidak dapat berhubung dengan saya untuk mendapatkan kenyataan. Masa itu saya belum bersedia lagi. Tetapi saya sedar satu hari nanti saya tetap akan berdepan dengan semua.

-mstar-

0 comments:

Post a Comment