10:08 0

Nyaris Maut kerana jambatan usang.

Sebuah titi usang di Kampung Permatang Tepi Laut hampir meragut lima nyawa kanak-kanak dalam kejadian jam 5.30 petang, lima hari lalu.

Saksi, Ibrahim Nek, 60, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di pondok tepi laut dan melihat lima budak perempuan berumur lingkungan 8 hingga 10 tahun cuba naik titi berkenaan.

"Saya lihat mereka sudah sampai ke hujung titi, namun seorang demi seorang daripada mereka jatuh dari titi kerana papan yang semakin reput dan pecah," katanya.

Menurutnya, dia segera terjun ke laut untuk menyelamatkan kesemua kanak-kanak berkenaan yang pada masa itu sudah kelemasan.

"Walaupun berjaya menyelamatkan mereka, namun salah seorang daripadanya terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

"Kejadian berkenaan antara yang terburuk berlaku di situ selepas tsunami beberapa tahun lalu di kawasan sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Permatang Tepi Laut, Azman Saad berkata, titi yang dibina sejak enam tahun lalu sudah tidak digunakan lagi.

Menurutnya, nelayan tidak meletakkan bot mereka di situ berikutan angin kuat.

"Selepas tsunami, peruntukan sebanyak RM200,000 digunakan untuk membaik pulih titi namun mengecewakan kerana hasilnya masih sama.

“Kos yang digunakan begitu mahal, namun ciri keselamatan langsung tiada dan kini keadaannya semakin usang,” katanya.

Azman berkata, sehingga kini kira-kira 400 penduduk Permatang Tepi Laut masih trauma dengan kejadian itu memandangkan titi tersebut menjadi tumpuan kanak-kanak bermain pada waktu petang.

"Penduduk mahu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mahupun Adun berkenaan mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan orang ramai,” katanya.

-sinarharian



0 comments:

Post a Comment