22:03 0

Fazura jawab gosip nikah

Nur Fazura Sharifuddin


BUKAN sengaja mahu menimbulkan polimik, jauh sekali berniat untuk memanjangkan isu sehingga menyebabkan pihak lain termasuk rakan media berasa kurang selesa dengan dirinya.
Begitupun, apabila cerita peribadi sering digembar-gemburkan sehingga membabitkan pihak lain dan menenggelamkan kerjaya seni yang sudah diharungi hampir lapan tahun, perkara itu membuatkan pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura berasa sedih dan kecewa.Tampil memberi kenyataan balas bukan dengan niat untuk menuding jari atau mempersalahkan mana-mana pihak tetapi pelakon berasal dari Pekan, Pahang ini mahu semua pihak faham kedudukan sebenar. 

Lebih daripada itu, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai selebriti menjadi perhatian ramai untuk tampil dan menjelaskan apa saja perkara yang dirasakan perlu termasuklah isu mengenai dirinya akan berumah tangga dalam waktu terdekat dengan jejaka pilihan hati yang sekarang ini sedang bertiup kencang.

Sewaktu ditemui dalam sesi fotografi khas, Fazura secara jujur mengakui faham akan kedudukannya sebagai selebriti yang tidak terlepas daripada menjadi ‘bahan’ gosip.

Fazura juga sedar, ramai pihak ingin mengetahui kisah cintanya yang diibaratkan ramai seperti kisah dongeng menjadi realiti. Bagaimanapun, secara peribadi pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Bicara Hati dan Qaisy & Laila itu menegaskan ia sesuatu yang sangat peribadi.

“Apabila ia sering dipaparkan di media dan menjadi buah mulut orang, ia membuatkan saya berasa cukup bosan. Lebih daripada itu, saya berasa sedih apabila ada antara kata-kata saya diputarbelitkan dan topik temubual dilaksanakan berubah apabila tersiar di media.

“Tidak dinafikan, saya terkilan dan kesal dengan perkara itu (gosip) kerana implikasi­nya akan menyebabkan cerita tidak benar terbabit berpanjangan. Lebih membuatkan saya terkilan apabila maksud apa yang saya mahu nyatakan sebenarnya disalahertikan.

“Perkara inilah menjadi satu faktor penyebab mengapa saya jarang tampil memenuhi fotografi atau temuramah jika tiada produk atau filem baru untuk dipromosikan.

“Saya bimbang yang keluar hanyalah cerita murahan sebegini yang sememangnya bukan prinsip saya. Jika benar saya mahu berkahwin, tidak perlu bagi saya untuk bercerita kepada satu dunia yang saya kini sedang dilamun cinta dan sedang merancang majlis perkahwinan.

“Di sini juga saya mahu mengambil kesempatan untuk menafikan apa saja cerita mengenai saya (merancang berkahwin) yang anda baca,” katanya.

Tegas Fazura, dia tidak memerlukan publisiti sedemikian rupa semata-mata mahu meraih populariti memandangkan kredibilitinya sebagai pelakon sudah diketahui umum. Apatah lagi gosip terbabit tidak memberi keuntungan atau merugikan dirinya.

“Dalam keadaan sekarang, saya lebih seronok mendengar orang memperkatakan mengenai bakat dan kerjaya seni saya berbanding hal-hal berkaitan peribadi.
Lagipun, saya sudah rasa semuanya sepanjang lapan tahun menjadi pelakon, model dan pengacara.

“Sekarang ini biarlah kalau ada perkara yang hendak dikongsi dengan peminat membabitkan kerjaya seni atau mempromosikan produk baru saya. Sebabnya, bukan semua orang suka terlalu banyak cerita peribadi dicanangkan dan saya bimbang lama-kelamaan orang akan menyampah. Pada saya lebih baik orang tidak sedar kewujudan kita berbanding orang benci dan menyampah. Itu perkara paling saya bimbang,” katanya.


Pilih watak dan bayaran setimpal

FAZURA yang memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2010 menerusi filem Pisau Cukur, menegaskan keputusan diambil untuk mengurangkan pembabitannya dalam dunia lakonan juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu kahwin.

Katanya, perkara itu dibuat bagi menghormati kehendak ibunya yang sudah mencecah usia 52 tahun. Apatah lagi melihat anak gadis tunggalnya beraksi berpegangan tangan dan berada atas katil dengan lelaki bukan muhrim menyebabkan ibunya berasa kurang selesa.

“Terus-terang saya katakan, ibu tidak menyukainya. Lagipun dalam usia begitu ibu agak sensitif. Jadi saya perlu menjaga hati dan menghormati kehendaknya.
Jadi sekarang ini, apabila saya fikirkan mengenainya, saya akan menjadi kurang selesa apabila ditawarkan watak sedemikian rupa.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, sewaktu saya mula-mula mahu terjun dalam dunia lakonan ibu agak keberatan untuk membenarkan. Bagaimanapun, selepas saya pujuk akhirnya dia mengalah.

“Ibu memberi sokongan dan dorongan dengan menemani saya ke lokasi pada awal pembabitan. Sekarang ini sudah tiba masanya untuk saya membalas kembali jasa baiknya dengan mematuhi apa kehendaknya. Sebagai anak, saya akur,” katanya.

Begitupun, kata Fazura, tidak bermakna dia mahu meninggalkan terus dunia lakonan sebaliknya lebih berhati-hati dalam memilih watak. Baginya, tanpa ada aksi pegang-pegang, drama atau filem dihasilkan tetap menarik.

“Saya pernah berlakon begitu dalam karya yang dihasilkan Erma Fatima. Orang masih menggemarinya malah suka menonton drama Kitab Cinta. Ia bergantung kepada kreativiti seorang penulis skrip dan pengarah. Kalau jalan cerita dihasilkan itu bagus, tidak perlu pegang-pegang, orang akan tonton dan menyukainya,” katanya.

Apabila ditanya mengenai faktor bayaran turut menjadi faktor mengapa dia agak memilih sehingga kebelakangan ini jarang muncul di layar lebar dan juga televisyen. Dengan jujur, Fazura mengakui tidak mahu bersikap hipokrit mengenainya (bayaran).

“Pada awal pembabitan saya dalam lakonan, saya pernah lihat beberapa artis veteran diberikan bayaran rendah. Sedangkan bakat dan kudrat dicurahkan jauh lebih baik berbanding kami yang masih muda. Ia tidak setimpal dengan bakat dan tenaga yang dicurahkan.

“Pada saya, produksi harus menilai bayaran seseorang pelakon berdasarkan tempoh lama bekerja dan kemampuan mereka menzahirkan sesuatu watak, bukannya berdasarkan populariti.

“Dalam soal bayaran, lebih baik pelakon itu berterus terang membabitkan harga yang mahu diminta dalam satu-satu produksi berbanding cuba rebut peluang tetapi bayaran tidak setimpal kemudian merungut dan mengata di belakang.

“Ia tidak sihat bukan saja untuk produksi tetapi pelakon itu sendiri kerana bimbang dia tidak dapat memberikan komitmen penuh kerana rasa tidak puas hati terhadap bayaran diterima mengganggu tumpuan,” katanya.

Filem terbaru lakonannya, Bujang Terlajak Belum Terlanjur mula ditayangkan di pawagam pada 19 Januari lalu dan kini disiarkan menerusi Astro First.

0 comments:

Post a Comment