Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, 32, berkata dia tidak kesal dengan kenyataan Almy kepada akhbar Berita Minggu pada Ahad lalu kerana aktres itu mungkin tertekan dengan kontroversi hubungan mereka.
“Saya tidak salahkan Almy. Mungkin dia terlebih cakap kerana orang tuanya sudah bising (dengan status hubungan Fizz dan Almy) sehingga menyebabkan dia mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Sebenarnya tidak ada-apa yang berlaku dan tiada masalah dalam hubungan kami. Kami baru saja bermain badminton bersama pada malam semalam (malam Selasa),” katanya dalam nada bergurau kepada mStar Online.
Fizz berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Ibu Rafflesia bersama 20 selebriti di Hotel Royal di sini, malam Rabu lalu.
Dalam kenyataan Almy kepada akhbar mingguan itu Ahad lalu, dia menyifatkan hubungannya dengan Fizz boleh diibaratkan seperti retak menanti belah kerana mereka tidak lagi mesra sejak dua tahun kebelakangan ini dan dia tidak lagi diendahkan oleh aktor itu.
Ditanya mengenai punca atau faktor yang menyebabkan Almy mengeluarkan kenyataan tersebut, Fizz berkata dia tidak pasti di sebalik tindakan aktres itu.
“Saya pun tidak berkesempatan untuk membaca kenyataan itu lagi. Tidak pasti pula jika dia terlepas cakap atau melatah kerana terlalu beremosi atau mungkin kenyataan itu sudah ditokok tambah (daripada fakta sebenar).
“Saya sedar terlalu banyak persoalan mengenai status hubungan kami ditanyakan oleh media sejak beberapa tahun lalu dan ia pasti menimbulkan tekanan kepada dia dan keluarganya,” jelas pemenang trofi Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 itu.
Sempat diusik adakah dia akan mengotakan hasratnya untuk memperisterikan Almy, Fizz berkata dia tidak dapat memberikan sebarang kepastian kerana dia tidak mahu menjanjikan sesuatu yang berada di luar kawalannya.
“Ini (jodoh) semua ketentuan Tuhan. Saya tidak boleh janjikan apa-apa kerana saya tidak suka membuat janji. Tunggulah sehingga ibu saya pulang daripada umrah dulu dan minta petunjuk di sana,” kongsinya.
Dalam laporan mStar Online pada 21 Mei lalu, kedua-dua pelakon itu enggan memberikan ulasan apabila ditanya mengenai kenyataan Almy yang mendakwa hubungan mereka berada di ambang perpisahan.
Sebelum itu, Almy dalam kenyataan kepada mStar Online bertarikh 9 Mei mengakui sangat terkejut selepas mendengar laporan kekasihnya itu berhasrat untuk mengahwininya pada tahun ini.
Bagaimanapun, aktres berusia 26 tahun itu tidak dapat memberi sebarang reaksi kerana tidak mengetahui apa-apa mengenai hasrat Fizz itu.
0 comments:
Post a Comment