Seminar promosi skim piramid diserbu KPDNKK
KAJANG – Lebih 200 peserta sebuah seminar dipercayai skim piramid yang sedang kusyuk mendengar taklimat tergamam apabila diserbu oleh kira-kira 20 pegawai penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, di sini semalam.
Suasana pada mulanya agak tegang kerana beberapa peserta yang pertama kali menghadiri seminar sedemikian berang apabila butiran diri mereka diambil oleh penguatkuasa namun tenang selepas diberi penjelasan lanjut pegawai terlibat.
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya, Mohd Roslan Mahayudin berkata, seminar yang diadakan di sebuah hotel itu diserbu kerana dianjurkan sebuah syarikat yang disyaki mempromosi dan menjalankan skim piramid.
Menurutnya, serbuan pada jam 4 petang itu adalah berdasarkan maklumat orang ramai termasuk peserta terdahulu yang mendakwa ditipu selepas menyertai skim tersebut.
“Kita syak terdapat unsur-unsur skim piramid dan iklan serta risalah diedarkan meragukan.
“Dipercayai, skim ini menggunakan platform sebuah syarikat yang memiliki lesen jualan langsung dan perniagaan lebih menjurus kepada merekrut peserta berbanding penjualan produk,” katanya selepas serbuan itu, semalam.
Mohd Roslan berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan terbabit dan perkara itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.
Katanya, ia serbuan pertama bagi tahun ini dan pihaknya turut merekodkan data peserta untuk dokumentasi.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti penganjur untuk dirakamkan perbualan untuk siasatan.
Katanya, beberapa peralatan seperti komputer riba dan pemacu cakera keras turut dirampas untuk tujuan siasatan.
0 comments:
Post a Comment