08:37 0

Ekoran soal bayaran: "Taiyuddin bertindak melulu'' - Ahmad idham

Ahmad Idham
PETALING JAYA: Pengarah filem terkenal Ahmad Idham Ahmad Nadzri enggan melayan luahan pelakon Taiyuddin Bakar yang tidak berpuas hati berhubung bayaran filemGangster Celop yang pernah ditawarkan kepadanya kerana menganggap ia isu tidak berasas.
Ahmad Idham, 41, berkata dia mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri kerana aktor itu bertindak secara melulu tanpa asas dan pengetahuan sebenar dalam selok-belok industri filem.
"Saya tidak mahu layan kontroversi sebegini. Ia bukan isu yang patut dibangkitkan. Lebih baik saya mendiamkan diri kerana jika kontroversi ini berlanjutan secara tidak langsung ia memberikan publisiti kepada dia (Taiyuddin).
"Perasaan tidak puas hati ini tidak timbul jika seseorang pelakon tahu realiti sebenar dan mengukur kedudukan serta nilai mereka dalam industri," katanya kepada mStar Onlinepada Khamis.
Konflik terbaru antara dua penggiat seni ini tercetus apabila ruangan pojok akhbarMingguan Malaysia pada Ahad lalu mendakwa Taiyuddin tidak berpuas hati dengan jumlah bayaran ditawarkan Ahmad Idham untuk filem terbaru, Gangster Celop.
Difahamkan, Taiyuddin yang pada awalnya ditawarkan watak penting telah menarik diri kerana terkilan dengan proses tawaran dan cara pengarah itu yang tidak mempunyai budi bahasa.
Taiyuddin Bakar
Ditanya mengenai dakwaan Taiyuddin yang tidak berpuas hati dengan jumlah bayaran yang tidak menepati jangkaannya, pengarah filem Mael Lambong itu berkata, bayaran yang ditawarkan adalah lebih besar daripada nilai sebenar yang sepatutnya diterima aktor itu.
"Soal bayaran adalah hak penerbit yang menentukan. Dia tidak sepatutnya bangkitkan aspek itu kerana kita tawarkan lebih daripada apa yang layak diterimanya.
"Berdasarkan perbincangan dengan penerbit bersama Skop Production, jumlah yang ditawarkan itu adalah lebih besar berbanding nilai dan populariti dia sebagai orang baru," katanya.
Mengenai kenyataan Taiyuddin yang terkilan maruahnya di perkecilkan menerusi proses penawaran filem itu yang dianggap tidak berbudi bahasa, Ahmad Idham berkata, kenyataan pelakon itu lebih dipengaruhi emosi berbanding sikap profesionalisme.
"Tak perlulah saya ulas lanjut mengenai reaksi atau tanggapan dia. Terus-terang, urusan tawaran lakonan berlaku secara profesional, maka tidak perlulah dia babitkan soal emosi pula.
"Saya tidak memperlekeh atau mengeluarkan kenyataan yang merendahkan maruahnya seperti didakwa itu," katanya.
Ahmad Idham kini sibuk di lokasi penggambaran filem Gangster Celop sepanjang bulan Ramadan ini.
Filem terbitan bersama Excellent Pictures dan Skop Production itu membariskan antaranya Kamal Adli, Syamsul Yusof, Azad Jazmin dan pendatang baru Hanis Zalikha.

0 comments:

Post a Comment