PETALING JAYA: Pelakon Miera Liyana bakal membuatkan para peminat kagum dengan kehebatan lakonannya yang memiliki kuasa misteri dalam drama Psikik.
Terbukti, episod pertama yang telah pun menemui penonton pada 20 Julai lalu nyata mendapat reaksi positif lebih-lebih lagi yang gemarkan siri bercorak fiksyen.
Drama sebanyak 13 episod itu mengisahkan seorang gadis bernama Sukma yang setelah bangun dari koma selama 10 tahun, menyedari dirinya memiliki kuasa aneh dimana dia dapat melihat bayangan dan menerima cebisan imbasan yang ada kaitan dengan masa depan atau sesuatu kejadian lampau.
Plot drama ini berdasarkan memori terakhirnya tragedi pembunuhan ibu bapanya, Sukma terdorong dan nekad untuk mencari jawapan daripada misteri pembunuhan keluarganya.
Bagaimanapun, perjalanan Sukma tidak semudah yang digambarkan kerana dalam pencarian itu dia terpaksa berdepan dengan situasi misteri dalam hidupnya.
Pada masa sama Sukma mula menguasai dan memahami keupayaan yang ada dalam dirinya.
Dia mulai tenang dan tidak tertekan dengan kuasa yang dimilikinya itu dan dia mula menerima seadanya ‘kurniaan’ terhadapnya itu.
Dalam keadaan yang masih kebingungan dengan kehendak pihak ketiga dan tidak mahu menyinggung perasaan orang yang disayanginya, Sukma dengan berat hati menggunakan kebolehannya menyelesaikan pelbagai kes-kes jenayah yang pada zahirnya agak normal tetapi sebenarnya ada kaitan dengan perjalanan hidupnya.
Bagi setiap episod, Sukma akan dibantu oleh teman-teman rapat dan keluarganya dalam mengharungi detik-detik mencari identiti sebenar melibatkan hubungan, kepercayaan dan harapan yang akan menentukan segala-galanya.
Selain Miera, Psikik turut dibarisi pelakon Lash Mokhtar, Amar Asyraf, Hilal Azman, Razali Hussain, Marup Mustafa, Radhi Khalid, Kuza dan Irma Hasmie.
Psikik disiarkan setiap Jumaat pukul 2 petang menerusi saluran TV1.
0 comments:
Post a Comment