20:17 0

Lisa Surihani Ungguli Carta Facebook, Ada Lebih 2 Juta Peminat

KUALA LUMPUR – Cantik, tampan, bijak, berkarisma dan pandai mengambil hati. Itu antara kriteria yang diambil kira pelayar dan pengikut laman sosial hingga menjadikan beberapa individu berlainan latar belakang mempunyai jutaan peminat di laman interaktif maya.

Berdasarkan tinjauan Metro Ahad di facebook (FB) melalui paparan muka surat peminat (fan pages) dan twitter, pelakon wanita popular, Lisa Surihani mendominasi dua laman web sosial di negara ini dengan mengumpul paling ramai peminat berbanding selebriti lain.

Isteri kepada Yusri KRU ini mengumpul 2,116,928 peminat melalui paparan muka surat peminat. Setakat ini, tiada satu pun selebriti di negara ini mampu mengumpul peminat mencecah angka dua juta dalam FB melainkan Lisa.

Dalam FB itu, Lisa memang kreatif berinteraksi dengan peminatnya. Dia bukan saja berkongsi aktiviti seni dan rutin harian, bahkan turut menyiarkan rakaman video sambil membacakan tweet (status twitter) daripada peminatnya dengan ceria dan bersahaja.

Di twitternya, Lisa menerusi @LisaSurihani yang menggunakan kata pengenalan, ‘daddy’s little lucky girl’ turut mengumpul pengikut paling ramai berbanding selebriti lain iaitu 772,620 pengikut.

Metro Ahad mendapatkan rekod dan senarai pengikut dalam FB dan twitter berdasarkan maklumat dan ranking yang disenaraikan laman web twittercaunter.com, www.starcount.com dan Discover Facebook Pages.

Di belakang Lisa dan mengikut ranking lima teratas, pelakon popular ini meninggalkan jauh rakan artisnya yang juga pelakon, Scha Alyahya di tempat kedua dengan 1,539,525 peminat, manakala pelakon lelaki popular kelahiran Singapura, Aaron Aziz di tempat ketiga dengan mengumpul 1,285,480 peminat.

Berbanding Lisa dan Scha, Aaron mempunyai cara tersendiri untuk berinteraksi dengan peminat. Status pada laman FBnya lebih banyak dipetik daripada status twitter yang disambungkan terus ke FB.

Antara status Aaron kepada peminatnya yang dipaparkan pada FBnya baru-baru ini, “Hi Semua! Tengah buat ape? brother brother tunggu bola ke? Spain or Portugal?? Im with Spain!! GD LUCK!” Pelakon, Awal Ashaari di tempat keempat dengan 1,146,082 peminat manakala penyanyi berbakat besar, Yuna di tempat kelima dengan mengumpul 1,202,282 peminat.

Berbeza pula dengan twitter, rata-rata selebriti ini menggunakan platform terbabit untuk berkongsi dengan peminat mengenai aktiviti peribadi, termasuk interaksi mereka dengan kenalan rapat dan keluarga masing-masing.
Adakalanya, mereka juga menjawab pertanyaan peminat secara terus dalam twitter masing-masing.

Selain Lisa yang turut mengungguli pengikut paling ramai dalam twitter, pelakon komedi, Zizan dengan pengenalan diri @zizanrajalawak di tempat kedua mengumpul 654,016 pengikut.

 

Berbeza dengan Lisa, bukan semua status twitter Zizan dikemas kini sendiri pelawak berkenaan, sebaliknya adakala ia dikendali admin yang menguruskan twitternya.

Di tempat ketiga adalah Aaron @Aaron535Aziz dengan 592,381 pengikut; pelakon, Shaheizy Sam (@Shaheizy_Sam) di tempat keempat dengan 522,024 pengikut, manakala penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza dengan pengenalan diri @CTNurhaliza11 di tempat kelima dengan mengumpul 467,900 pengikut.

Selain selebriti yang lebih banyak mendominasi FB dan twitter, orang kenamaan turut mencuri perhatian dalam mengumpul peminat dan pengikut mereka menerusi laman web terbabit.

Lebih membanggakan, nama teratas dalam senarai itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di laman twitter, Najib hanya ketinggalan 78,269 pengikut daripada angka 694,351 berbanding pengikut Lisa. Di FB, Najib yang mengumpul 1,037,626 pengikut di tempat kedua di belakang Dr Mahathir yang mengumpul 1,696,505 pengikut.

Banyak perbezaan dapat dilihat menerusi laman sosial dua tokoh negara ini. Najib lebih banyak menggunakan kedua-dua laman sosialnya untuk menyatakan agenda negara dan rutin beliau sebagai perdana menteri, selain interaksinya secara langsung dengan rakyat.
Tun Mahathir pula menggunakan FB untuk menyatakan pendapat beliau mengenai pelbagai isu dalam negara, dan sebagaimana karisma dimiliki tokoh tersohor negara ini, banyak isu dikupas beliau cukup tajam dan pedas.

Beliau jarang menggunakan laman sosialnya untuk berinteraksi dengan rakyat seperti dilakukan Najib, namun kupasan dan artikel mengenai apa saja isu yang diutarakan beliau banyak dikongsikan pengikutnya dalam FB.

Selain dua tokoh politik negara ini, dalam twitter, jutawan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes (@tonyfernandes) mengumpul 217,743 pengikut untuk berada di tempat kedua.

Pemimpin parti pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) sekadar mengumpul 168,994 pengikut dan berada di tempat ketiga.

Rata-rata pemimpin politik dan orang kenamaan lain hanya mengumpul peminat dan pengikut masing-masing antara 150,000 ke bawah. (Metro Ahad)

0 comments:

Post a Comment