Siti Saleha dan Khairul Fahmi Che Mat (Apex) disatukan
Penjaga gol nombor satu Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apex, 23, telah disatukan bersama pelakon cantik, Siti Saleha dalam kempen baju berjenama Puma sempena sambutan hari lebaran menjelang tiba.
Gambar gandingan Apex dan Saleha boleh dilihat dalam sampul raya keluaran Puma yang mana ia boleh diperolehi di kedai Al-Ikhsan di seluruh negara.
Mengulas mengenai gandingan ini, Apex yang kini berada di Austria kerana menjalani latihan bersama Skuad negara berharap jangan ada pihak yang cuba membuat spekulasi negatif terhadap gambar ini.
"Saya harap masyarakat tidak salah faham dengan gandingan ini. Saya dan Saleha hanya disatukan untuk sesi fotografi pakaian Puma. Memandangkan kami berdua adalah duta produk ini, jadi tidak salah kami bekerjasama untuk memeriahkan kempen Aidilfitri ini," ujarnya kepada murai.com.my.
Dalam pada itu, Apex menerangkan bahawa dia hanya bertemu dengan Saleha dalam beberapa majlis yang dianjurkan Puma saja.
"Sebelum perkara ini berkembang menjadi agenda yang tidak diingini, lebih baik saya jelaskan terlebih dahulu. Apapun terima kasih kepada pihak berkenaan yang bertanya dulu kepada saya tentang gambar ini.
"Saya hargainya. Alhamdulillah, saya menjalani latihan di sini dalam keadaan baik. Sekali lagi terima kasih kepada peminat yang sentiasa mengambil berat tentang saya walaupun saya tidak berada di Malaysia.
"InsyaAllah, saya akan pulang ke tanahair pada 17 Ogos ini. Setelah tiba di Malaysia, saya akan pulang terus ke kampung halaman untuk membuat persiapan hari raya pada saat akhir," katanya.
0 comments:
Post a Comment