KUALA LUMPUR – Penyanyi wanita, Shila Amzah kerap kali diasak dengan soalan perkahwinan sejak dia bercinta dengan pelakon lelaki, Sharnaaz Ahmad.
Selepas muncul juara dalam pertandingan Asian Wave 2012 di China minggu lalu, semakin ramai yang membuat tanggapan Shila akan berkahwin dalam tahun ini juga.
Bagaimanapun, Shila mempunyai masa yang sudah disasarkan untuk menamatkan status bujangnya.
Menerusi laporan Utusan Online, Shila memberitahu dia merancang untuk berkahwin pada tahun 2014 kerana ingin melakukan persiapan dari segi fizikal dan mental sebelum mengubah perjalanan hidupnya.
“Saya tahu ada yang bertanya soal kahwin memandangkan saya dan Shaarnaz sudah pun membuka cerita tentang itu sebelum kejayaan di China. Saya tak marah kerana hubungan antara kami itu pun berlaku tanpa disedari sejak tahun lalu.
“Rancangan nak berkahwin itu memang ada. InsyaAllah tak ada aral, kami bersatu pada tahun 2014. Maknanya ada dua tahun lagi kami nak ke arah itu. Ada masa juga untuk buat persediaan mental dan fizikal,” kata Shila.
Mempunyai jarak masa selama dua tahun sebelum bersatu dengan Shaarnaz, Shila tidak takut sekiranya timbulnya masalah dalam hubungan cinta mereka berdua.
Kata Shila, setiap pasangan yang bercinta pastinya akan menghadapi hari-hari yang sukar untuk mempertahankan hubungan kasih dan sayang.
Cuma, setiap pasangan itu perlulah bijak menangani segala masalah yang datang secara bijak.
“Soal dugaan itu memang berlaku pada semua orang yang berkasih. Pandai-pandailah pasangan bercinta itu tangani. Sebab itu saya rancang betul-betul perjalanan seni saya. Begitu juga dengan Shaarnaz.
“Lagi pun hubungan kami tak ada masalah. Keluarga kedua belah pihak gembira dan saya sendiri bersedia untuk menerima lamaran bila-bila masa saja. Tapi soal kahwin ini bukan perkara main-main,” katanya.
0 comments:
Post a Comment