13:27 0

Kanak-kanak maut di patuk ular


BESUT- Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan maut selepas dipatuk seekor ular ketika sedang tidur dalam kejadian di rumahnya di Kampung Gong Ubi Keling, dekat Jabi di sini, malam semalam.

Kejadian dipercayai berlaku pukul 11.30 malam ketika Puteri Suhana Sata sedang tidur di ruang tamu rumah bersama ibu dan empat lagi adik-beradiknya.
Ibunya Zela Mohamad, 42, berkata kejadian disedari oleh anak sulungnya, Mohd Ruhaidi, 25 yang ternampak ular berkenaan di hujung kaki anak bongsunya itu.
“Kami baru sahaja tidur sementara Mohd Ruhaidi berada di dalam sebuah bilik untuk membuat kerja. Mohd Ruhaidi yang keluar daripada bilik untuk ke bilik air ternampak seekor ular hitam sepanjang hampir satu meter berhampiran kaki Puteri Suhana dan mengejutkan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, dekat sini hari ini.
Katanya beliau yang bangun dan memeriksa Puteri Suhana mendapati kaki anak bongsu daripada 11 beradik itu berdarah manakala ular terbabit yang dipercayai ular tedung sudah menyusur ke tepi dinding menuju ke bahagian dapur.
“Saya tengok ada dua kesan darah pada buku lali kiri anak yang masih tidur. Bila saya mengangkatnya barulah Puteri Suhana menjerit kesakitan,” katanya yang kemudian meminta bantuan saudara untuk menghantar anaknya ke Hospital Besut.
Menurutnya ketika kejadian, suaminya Sata Mahasan, 42, sedang bekerja di Kompleks Perikanan Tok Bali, Semerak, Kelantan.
“Semasa di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke hospital, Puteri Suhana meminta untuk menyusu badan namun tetapi dia tidak dapat menyusu akibat kesakitan sambil muntah-muntah,” katanya.
Menurut Zela itu adalah kali terakhir beliau mendengar suara anaknya. Puteri Suhana disahkan meninggal dunia oleh doktor di unit kecemasan hospital, katanya menambah jenazah anaknya dikebumikan pagi tadi. – Bernama

0 comments:

Post a Comment