Pelakon Rita Rudaini tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa dia
berbohong berhubung tuntutan nafkah dua anaknya yang diterima daripada
suami, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, di Mahkamah Rendah Syariah,
semalam.
Rita, 37, menafikan perkara itu ketika disoal balas oleh peguam
syarie, Roshdan Sujak Rafie, yang mewakili Mohd Aidil, dalam prosiding
perbicaraan tersebut semalam.
Roshdan, sebelum itu, mencadangkan kepada Rita bahawa keterangannya
berhubung anak guamnya tidak memberi nafkah adalah tidak benar.
Bagaimanapun, Rita memaklumkan keterangannya yang diberikan itu
berdasarkan perkara yang berlaku selepas Mohd Aidil keluar dari rumah
kelamin mereka di Kota Damansara di sini, Januari tahun lalu.
Roshdan kemudian mengemukakan slip pembayaran RM3,000 dan
RM2,000 bagi Jun dan Julai 2012 yang dimasukkan ke dalam akaun bank Rita
oleh anak guamnya.
Rita turut menyatakan dia tidak perasan jika suaminya ada memasukkan wang kerana tidak dimaklumkan kepadanya.
“Saya tidak perasan duit yang dia masukkan. Kadang-kadang dia beritahu, kadang-kadang tidak beritahu.
“Akaun Maybank saya juga banyak duit lain yang masuk, termasuk duit bayaran penggambaran drama,” katanya.
Menurutnya, suaminya ada beri nafkah, tetapi tidak cukup dan tidak konsisten.
Kepada cadangan Roshdan bahawa Mohd Aidil tidak pernah gagal memberi
nafkah sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan pada 2013, Rita bersetuju.
Menyentuh dakwaan Rita bahawa gaji suaminya lebih RM50,000 sebulan,
Roshdan mencadangkan gaji Mohd Aidil sebenarnya RM10,000 tetapi Rita
tidak bersetuju.
Bagaimanapun, Rita mengakui dakwaan berhubung gaji Mohd Aidil dibuat tanpa mengemukakan dokumen sokongan.
Roshdan turut bertanyakan secara terperinci berhubung keperluan
tuntutan wang RM5,390 yang diminta oleh Rita untuk kedua-dua anak
mereka.
Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah menetapkan 11 September depan untuk perbicaraan semula. ~sinar~
0 comments:
Post a Comment