Searching...
18:26 0

Kes Altantuya: Azilah, Sirul Dibebaskan Dari Tuduhan Membunuh


Bekas Pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan bekas Koperal Sirul Azhar Umar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya daripada sabitan hukuman mati atas dakwaan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada Oktober, 2006.

Keputusan itu sebulat suara dibuat panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Menurut panel tiga hakim itu terdapat beberapa kesilapan semasa perbicaraan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Zaki Yassin pada April 2009. Mahkamah ketika itu mendapati kedua-dua anggota polis itu bersalah tetapi membebaskan penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang didakwa juga terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

Antara kesilapan itu termasuk mahkamah tidak memanggil DSP Musa Safri seorang saksi penting bagi memberi keterangan dan kegagalan membekalkan catatan balai polis yang menunjukkan Azilah berada di Bukit Aman semasa waktu kejadian.

Bagaimanapun, kerajaan masih boleh merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Sebaik-baik mendengar keputusan itu, Azilah dan Sirul melahirkan rasa syukur dan dilihat lega dengan meraup muka penuh kesyukuran.

Azilah Hadri dan Sirul Azhar masing masing akan dibawa pulang ke penjara Kajang dan Tapah untuk menjalani beberapa proses sebelum dilepas dan dibebaskan.

Sementara itu peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Azilah ketika ditemui media memberitahu pihaknya berpuas hati dengan keputusan hakim.

Ini kerana hakim mengambil kira tiga faktor utama yang tidak di ambil perhatian diperingkat mahkamah tinggi.
Antaranya tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Kedua-dua bekas anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) itu sebelum ini mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Kedua-duanya didapati bersalah atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang, Selangor.

Rayuan Azilah selaku perayu pertama dan Sirul Azhar, perayu kedua telah didengar selama dua hari pada 24 Jun lalu di hadapan panel tiga hakim dianggotai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Pada pendengaran rayuan itu peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Azilah dan peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar berkata, hakim perbicaraan melakukan kekhilafan serius dari segi undang-undang dan fakta ketika mensabitkan kesalahan dua perayu berkenaan.

Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 apabila pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. – Agendadaily.com

PERSOALANNYA, SIAPA BUNUH ALTANTUYA??

0 comments:

Post a Comment