Ketika masing-masing bergaya dengan memakai busana rona hijau dan biru, pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim tidak lokek bercerita tentang soal rumah tangga mereka yang dibina pada tanggal 7 Jun lalu.
"Ia merupakan satu pengalaman yang manis buat kami, apatah lagi buat pertama kalinya kami meraikan bulan Ramadan dalam tempoh dua bulan bergelar suami isteri. Dalam sekelip mata, ahli keluarga masing-masing juga semakin bertambah," ujar Beego, 33, membuka bicara.
Sambil tersenyum dan berwajah ceria yang mewakili perasaannya selepas bergelar suami, Beego rancak bercerita tentang cara dia menyambut Ramadan bersama buah hatinya yang berumur 29 tahun itu.
"Ramadan kali ini begitu berbeza kerana hidup saya kini semakin terurus. Jika waktu bujang dahulu, saya lebih gemar melepak dan bersahur di kedai mamak sehingga waktu pagi sebelum pulang untuk tidur, kali ini (dalam bulan puasa) berbeza. Kini saya akan tidur dahulu dan bangkit untuk bersahur bersama isteri.
"Walaupun saya yang sering mengejutkan Linda untuk menyediakan hidangan bersahur, ia tidak menjadi masalah buat saya.
"Cuma, kami tidak berkesempatan untuk berbuka puasa bersama-sama pada 1 Ramadan kerana saya sedang menjalani penggambaran ketika itu," kata Beego yang bakal muncul dalam telefilem Lebaran Kasih sempena Aidilfitri nanti.
Kata orang, sikap lengkap-melengkapi menjadi rahsia kebahagiaan rumah tangga. Ia turut diakui Beego dan Linda apabila makanan mengeratkan hubungan kedua-dua mereka.
"Saya memang jenis orang yang suka makan. Semua saya bedal. Lebih bertuah apabila Linda pula seorang yang pandai memasak. Sebut sahaja makanan yang ingin dimakan, pasti dia akan menyediakannya.
"Kadangkala saya sendiri yang meminta dia kurangkan memasak kerana risau berat badannya akan bertambah. Kalau diikutkan, dia memang suka memasak apa sahaja.
"Mujurlah, saya sempat mengawal berat badan kerana bimbang ia boleh mengganggu karier jika tidak dijaga. Walaupun makan banyak, dalam tempoh berkahwin, berat badan saya telah turun sebanyak 1.7 kilogram," ujar Beego dengan nada bergurau.
Sambil mencelah Linda yang pandai memasak pelbagai jenis hidangan kecuali pastri berkata: "Dahulu saya akan memasak apa sahaja yang dia minta, tetapi kini saya sudah faham. Saya perlu memasak dalam kuantiti yang sedikit dan menyediakan hidangan yang sihat. Kalau tidak, semuanya dia akan makan."
Jika banyak pasangan lain pening kepala ketika membuat keputusan untuk balik kampung suami atau isteri, Beego dan Linda tiada masalah tentang perkara itu kerana mereka sudah membuat perancangan pada peringkat awal.
"Mengikut perancangannya, kami akan berhari raya di Gopeng, Perak. Jadi, seminggu sebelum hari raya, kami akan pulang ke kampung saya di Bandar Baru Uda (Johor Bahru).
"Ketika bulan Ramadan, ramai keluarga Linda yang berbuka puasa bersama di sini (Kuala Lumpur)," kata Beego yang tidak sabar untuk menikmati kelamai yang merupakan makanan tradisional pada hari raya di Gopeng.
Bercerita tentang persiapan hari raya, pasangan itu memilih untuk meraikan Aidilfitri secara sederhana.
"Duit sudah banyak habis untuk majlis perkahwinan tempoh hari. Justeru, hari raya pada tahun ini diraikan secara ala kadar sahaja," kata Beego.
Pasangan itu turut merancang mengadakan rumah terbuka hari raya.
Mengaku teruja untuk menganjurkan rumah terbuka itu buat rakan-rakan dan peminat, Beego berkata, majlis tersebut juga merupakan kali pertama yang akan dianjurkannya secara peribadi.
"Insya-Allah kami hanya merancang cuma pelbagai perkara harus diberi perhatian termasuklah soal lokasi kerana kami tinggal di apartmen," kata Beego.
-kosmo-
0 comments:
Post a Comment