KOTA KINABALU – Seorang pegawai kanan polis didakwa atas empat pertuduhan merogol seorang gadis berusia 13 tahun.
Deputi Supritendan Rohaizat Abd Ani, 54,
bekas ketua unit D7 di ibu pejabat polis Sabah yang juga pernah
bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Setiu tahun lalu didakwa merogol
gadis tersebut di sebuah bilik hotel di sini kira-kira pukul 3.30
petang, 1 Februari tahun lalu.
Rohaizat turut didakwa meliwat gadis
tersebut pada hari dan tempat yang sama selain mengulangi perbuatannya
itu kira-kira pukul 10 pagi keesokan harinya.
Ketika pertuduhan keempat merogol gadis
di hotel yang sama sekitar Mei tahun lalu dibacakan, beliau
bertanya:”Apa, tiada tarikh?”
Beliau kemudiannya menggelengkan kepala dan berkata:”Tidak bersalah.”
Beliau turut menulis nota apabila pertuduhan awal dibacakan dan menjawab ‘Tidak bersalah’ setiap masa dengan jelas dan lantang.
Rohaizat yang kini bertugas sebagai
Timbalan Ketua Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Pulau Pinang tiba di
mahkamah dengan memakai jaket dan berseluar gelap serta ditemani
isterinya.
Bapa kepada dua orang anak itu menutup
mukanya dengan surat khabar apabila melihat pemberita dan jurugambar
ketika memasuki bilik perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin
meminta ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan kerana
kesalahan dilakukan amat serius.
Peguam Ram Singh yang mewakili Rohaizat
bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memegang jawatan
pegawai kanan polis dan dia tidak akan melarikan diri.
Ram berkata Rohaizat sanggup melaporkan diri kepada ibu pejabat polis Pulau Pinang dua kali seminggu jika perlu.
Beliau juga menggesa ikat jamin minimum RM5,000 ditetapkan untuk setiap pertuduhan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ismail Berahim
bagaimanapun menetapkan jumlah tersebut kepada RM40,000 dan membenarkan
Rohaizat dibebaskan selepas menetapkan 9 hingga 13 Disember ini untuk
tarikh perbicaraan.
Jamil berkata, pihak pendakwaan
mempunyai senarai seramai 25 orang saksi tetapi belum menentukan berapa
ramai yang akan dipanggil untuk memberi keterangan. - mStar Online
0 comments:
Post a Comment