10:38 0

Temubual Jep Sepahtu


BERHASIL menumpaskan nama-nama besar pelawak lain sehingga dinobatkan sebagai Artis Lawak Lelaki Paling Popular pada Anugerah Lawak Warna yang berlangsung di Istana Budaya, minggu lalu memberikan kenangan tersendiri buat pelawak Jep Sepahtu.
Jep atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Zainal Abidin berkata, ia merupakan anugerah pertama yang diraihnya secara solo sepanjang bergelar artis.
Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Jep.
Ini merupakan kali pertama anda merangkul sebuah anugerah yang besar. Boleh ulas tentang kejayaan ini?
JEP: Sudah tentu ia satu kejutan kepada saya, apatah lagi ia kategori popular sementelah pemilihan dibuat menerusi undian peminat.
Saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini meskipun terpaksa bersaing dengan calon-calon yang tidak kurang hebatnya seperti Datuk AC Mizal, Johan, Zizan dan Yus Jambu.
Adakah kejayaan tersebut memberi tekanan kepada anda selepas ini?
Bagi saya, sama ada menang anugerah atau tidak, tekanan yang dilalui itu sama sahaja. Orang ramai melihat kerja menjadi pelawak ini senang, tetapi hakikatnya bukan mudah untuk buat orang ketawa.
Bagaimanapun, saya beruntung kerana mendapat rakan gandingan iaitu Shuib dalam kumpulan lawak Sepahtu. Rasanya tanpa kehadiran dia, mungkin saya tidak berada dalam landasan sekarang.
Setelah kumpulan Sepah berpecah, anda dan Shuib telah menubuhkan Sepahtu. Apakah perkembangan Sepahtu sejak ia diwujudkan pada tahun 2011?
Secara jujurnya, saya mengakui saya seorang yang sangat cerewet. Kalau ada sesuatu yang tidak kena saya akan berterus-terang sahaja, tetapi cerewet saya itu bersebab.
Sebagai contohnya, kalau kami berbincang mengenai jenis persembahan yang akan ditampilkan kepada penonton, saya akan tolak idea yang diberikan Shuib kalau saya rasa ia tidak sesuai.
Namun begitu, saya bukanlah menolaknya sesuka hati sahaja, tetapi saya akan sertakan sekali dengan sebabnya. Saya rasa sikap cerewet itu perlu untuk kebaikan bersama.

Adakah sikap berkenaan pernah menimbulkan pergeseran dengan Shuib?
Kalau pergeseran kecil itu memang selalu berlaku, tetapi masing-masing tidak pernah ambil hati. Lagipun Shuib juga berhak menolak idea saya sekiranya tidak sesuai untuk dipersembahkan.
Sebenarnya Shuib seorang yang sangat sabar dengan kerenah saya. Ia menjadi faktor paling utama kami dapat terus bertahan sehingga sekarang.
Apakah pandangan anda terhadap Anugerah Lawak Warna yang buat kali pertama dianjurkan?
Pertama sekali saya cukup berbangga dengan pihak Astro kerana menganjurkan anugerah ini. Ia telah meletakkan dunia komedi tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi.
Ceritakan perkembangan aktiviti seni anda selepas cuti Aidilfitri?
Dalam tempoh terdekat ini saya akan menyertai rancangan Super Spontan untuk musim kedua. Bersama Sepahtu pula kami akan terbabit dalam sebuah pertandingan realiti, namun belum boleh diumumkan lagi.
Tentang tawaran lain pula memang banyak yang diterima, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana faktor masa.
Kalau boleh saya tidak mahu bersikap tamak dengan mengambil apa sahaja tawaran kerana ia boleh menjejaskan reputasi saya sebagai pelakon dan pelawak.
Artikel Penuh: kosmo online

0 comments:

Post a Comment